Mahathir hanya ‘kuda tunggang’ DAP kata Makkal Sakti

0
17

Georgetown – Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau adalah pemimpin berkuasa dalam Pakatan Harapan adalah tidak benar kerana beliau sebenarnya sekadar ‘kuda tunggangan’ kepada DAP.

Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk RS Thanenthiran berkata DAP bersetuju untuk melantik pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai Pengerusi Pakatan Harapan adalah kerana mahu meraih undi orang Melayu semata-mata.

“Dalam ucapan Dr Mahathir dalam satu majlis di Pulau Pinang, Khamis lepas, memaklumkan rakyat kembali menyokong pembangkang kerana parti itu dipelopori oleh beliau dan turut mendakwa mereka (Pakatan Harapan) boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Hakikat sebenarnya PPBM hanya memiliki satu kerusi Parlimen berbanding DAP yang mempunyai 38 kerusi iaitu jumlah majoriti bagi pihak pembangkang dan di situ kita boleh lihat parti itu (DAP) hanya gunakan Dr Mahathir sebagai kuda tunggangan mereka sahaja,” katanya kepada Bernama pada Majlis Rumah Terbuka Mesra Aidilfitri anjuran Makkal Sakti, di sini semalam.

Beliau berharap bekas perdana menteri itu sedar dan tidak memperjudikan nasib orang Melayu dengan menyuruh mereka menyokong DAP semata-mata untuk membalas dendam terhadap parti Umno.

Sementara itu, Thanenthiran berkata berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Makkal Sakti mendapati 65 hingga 70 peratus daripada dua juta pengundi India di negara ini akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana yakin hanya parti itu membela nasib mereka selama ini.

Beliau, yang mendakwa mempunyai 123,000 anggota parti ketika ini, berkata pihaknya juga telah bersiap sedia untuk menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan BN pada PRU14.

“Sama ada Makkal Sakti akan diberikan kerusi bertanding pada PRU14, saya serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat keputusan,” katanya,

Beliau berkata partinya, yang sentiasa menyokong dasar-dasar kerajaan dan kepimpinan perdana menteri, tidak akan memberi tekanan kepada pucuk pimpinan untuk memberi kerusi kepada parti itu untuk bertanding dalam musim pilihan raya ini kerana ia akan memberi impak besar dan tidak baik kepada BN.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini