Kes polis Kedah ditangkap SPRM menurun

0
42

Alor Setar – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah merekodkan penurunan tangkapan anggota polis bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Muhammad berkata daripada jumlah keseluruhan 49 tangkapan dalam tempoh itu tahun lalu, 10 daripadanya melibatkan anggota polis manakala bagi tahun ini, daripada keseluruhan 32 tangkapan dalam tempoh tersebut, hanya lima tangkapan melibatkan polis.

“Manakala bagi anggota penguat kuasa lain bagi tempoh Januari hingga Julai ini, kita hanya merekodkan tiga tangkapan berbanding lima tangkapan dalam tempoh itu tahun lalu,” katanya semasa menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mohd Fauzi berkata setiap tangkapan yang dilakukan adalah berdasarkan laporan atau risikan dan bukan hanya menumpukan kepada satu-satu jabatan atau agensi sebagai sasaran utama.

“SPRM tidak pernah berniat untuk menjadikan PDRM sebagai sasaran utama, mana-mana jabatan atau agensi penguat kuasa juga kita siasat sama rata sekiranya ada laporan diterima,” katanya.

Dalam majlis itu seramai 600 pegawai dan anggota polis IPK Kedah dan sekitar Alor Setar melafazkan IBR yang diketuai timbalan ketua polis Kedah DCP Sahabuddin Abd Manan dan disaksikan Fauzi sendiri. — Bernama

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini