Menteri terkejut kes pelajar letak racun kerana tak tahan dibuli

0
469

Segamat – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu semua pihak berkaitan termasuk jabatan pendidikan dan sekolah memperkasa langkah pencegahan bagi mengekang masalah disiplin di sekolah.

Mengakui kehilangan kata-kata selepas mendengar kejadian terkini melibatkan pelajar meletakkan racun lipas di dalam makanan rakan yang didakwa pembuli, Mahdzir berkata, kejadian buli dan gangsterisme adalah satu hakikat dalam masyarakat hari ini yang perlu dihadapi.

“Kena gandakan usaha dan beri perhatian kepada mereka (yang dikenal pasti cenderung masalah disiplin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang pelajar lelaki sebelum ini ditahan kerana meletakkan racun di dalam mi goreng rakannya di Sri Aman, Sarawak kerana mendakwa tidak tahan dibuli mangsa.

Datuk kepada pelajar berusia 13 tahun itu mendakwa, mangsa rakan sekelasnya itu juga sering meminta wang dan makanan daripada cucunya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, datuk pelajar yang menjadi suspek kes itu membuat laporan di Balai Polis Sri Aman 5 petang semalam mendakwa, tindakan cucunya itu adalah tindak balas terhadap perbuatan mangsa.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan berhubung laporan itu sama ada ia mempunyai kaitan dengan kejadian keracunan makanan yang dilakukan suspek.

Menurut laporan itu, seorang pelajar sekolah menengah di Sri Aman dikejarkan ke hospital kerana muntah selepas makan mi yang mengandungi racun lipas, kelmarin.

Kejadian kira-kira 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Sri Aman.

Suspek yang juga rakan sekelasnya ditahan polis pada 2.30 pagi semalam susulan laporan polis yang diterima daripada bapa mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan racun dan suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Mahdzir berkata kerajaan yang dipacu Umno dan Barisan Nasional (BN) telah berjaya membentuk sebuah dasar pendidikan negara yang merubah nasib rakyat di negara ini.

“Mak ayah tak sekolah (tapi) anak jadi doktor, ketua pengarah, peguam dan akauntan kerana dasar pendidikan negara. Siapa yang buat dasar ini tentu Umno dan BN sejak dahulu lagi yang dasar ini menyatukan kita sebagai bangsa Malaysia … Ahmad, Ah Leong dan Mutu boleh duduk bersama minum kopi.

“Tetapi masalah bila datang kepentingan politik pembangkang racun pemikiran rakyat. Semua dibuat kerajaan salah demi kerana mereka mahu memerintah jadi kerajaan sedangkan kerajaan Umno dan BN sekarang sudah lakukan segalanya demi rakyat,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini