‘Malaysia Airways’ bantu selamatkan Zimbabwe Airlines

0
41

Kuala Lumpur – Menantu kepada Presiden Zimbabwe Robert Mugabe berada di Malaysia baru-baru ini untuk mencapai satu perjanjian dengan sebuah syarikat penerbangan tempatan bagi menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu, Air Zimbabwe (AirZim).

Akhbar Zimbabwe Independent melaporkan pada Isnin, Simba Chikore bersama Menteri Pengangkutan Zimbabwe Joram Gumbo mengadakan lawatan ke sini untuk memuktamadkan perjanjian pajakan untuk AirZim yang sudah muflis.

Perjalanan beliau ke sini nampaknya diatur pada masa sama Mugabe, 93, berada di Singapura selama seminggu, yang dilapor tiba untuk pemeriksaan kesihatan.

Akhbar itu memetik sumber mengatakan Chikore dan Gumbo sedang memuktamadkan satu urusjanji yang akan menyaksikan sebuah syarikat penerbangan Malaysia (laporan menamakannya sebagai “Malaysian Airways”) menjadi rakan kepada AirZim yang dilanda masalah itu.

Menurut laporan majalah Air Transport World (ATW) 14 Julai lalu, AirZim dipercayai merancang pajakan bagi 4 pesawat Boeing 777-200ER dari Malaysia Airlines.

ATW menyatakan AirZim dilapor melaksanakan pemberhentian kerja hampir separuh daripada 400 kakitangannya akibat masalah kewangan, dengan hutang dianggarkan sebanyak AS$330 juta (RM1.4 bilion).

Sumber yang dipetik Zimbabwe Independent berkata perjanjian dengan syarikat penerbangan Malaysia itu melibatkan “pajakan basah”.

Pajakan itu melibatkan aturan di mana satu syarikat penerbangan menyediakan pesawat yang lengkap dengan anak kapal, penyelenggaraan dan insurans kepada syarikat penerbangan lain, dengan pembayaran dibuat berdasarkan masa operasi pesawat dipajak itu.

Laporan itu berkata pasukan yang terdiri daripada 10 kakitangan penting AirZim juga berkunjung ke Malaysia seminggu lebih awal untuk menyelia rancangan penerbangan feri itu, yang melibatkan pemindahan pesawat yang dipajak tanpa penumpang atau kargo, ke Zimbabwe.

Sumber tersebut dilapor berkata rundingan yang diadakan Chikore dan Gumbo tidak melibatkan eksekutif kanan AirZim lain.

“Chikore dan Gumbo sudah berada di Malaysia tetapi, yang mengejutkan, mereka tidak pergi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Air Zimbabwe Ripton Muzenda dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah Chipo Dyanda,” kata laporan tersebut.

Chikore, yang mengahwini anak perempuan Mugabe, Bona, dilantik ketua pegawai operasi AirZim.

Sumber berkata beliau menjalankan tugas eksekutif dan kerja harian syarikat menjalankan syarikat milik negara itu, dengan Muzenda yang diasingkan atas faktor politik.

“Chikore berjaya mengusir Muzenda kerana hubungannya dengan keluarga presiden,” kata satu sumber yang dipetik Zimbabwe Independent.

“Beliau mengambil arahan dari keluarga dan mempunyai akses terus kepada menteri.

“Keluarga presiden tidak sepatutnya terlibat, tetapi ia seolah-olah memberikan idea dan arahan kepadanya kerana segala yang dilakukannya dikatakan direstui keluarga Presiden Robert Mugabe,” tambah sumber itu.

Laporan itu juga berkata kementerian pengangkutan Zimbabwe mendekati rakan berpotensi lain untuk membantu AirZim, termasuk syarikat penerbangan Kenya, Ethiopia, Singapura dan Turki.

Sementara itu, pada 15 Julai, Perbadanan Penyiaran Zimbabwe (ZBC) melaporkan Mugabe dan isterinya Grace kembali ke Harare selepas lawatan seminggu ke Singapura di mana beliau menjalani pemeriksaan perubatan “rutin”.

Walaupun ia tidak menyatakan sama ada Chikore bersama mereka dalam penerbangan pulang, namun dilaporkan beliau dan Bona bersama pasangan presiden apabila Grace dibawa ke sebuah hospital untuk rawatan kecil berikutan kemalangan jalan raya kecil dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Harare.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini