Mahathir, Zaid waktu anda sudah berakhir kata Ku Nan

0
28

Kuala Lumpur – Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menyifatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Zaid Ibrahim sebagai “orang kecewa” yang perlu berhenti daripada memecahbelahkan perpaduan negara.

Beliau yang juga setiausaha agung Barisan Nasional berkata, waktu Dr Mahathir, yang kini mengetuai PPBM, manakala Zaid yang berada dalam DAP sudah pun berakhir dan tidak wajar menjadi ejen pemecah-belah keharmonian negara.

“Waktu anda sudah berakhir, lupakanlah. Jangan nak jadi ejen pemecah-belah yang mencetuskan suasana tidak harmoni kepada negara.

“Kepelbagaian dan perpaduan adalah kunci untuk Malaysia berkembang dan inilah yang kerajaan sedang lakukan. Mereka perlu berhenti dan cermin diri sendiri,” kata beliau.

Menteri wilayah persekutuan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) di sini hari ini.

Tengku Adnan seterusnya mendakwa Zaid yang pernah menganggotai Kabinet ketika era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, memandangkan beliau kecewa “maka bila bercakap akan jadi bermasalah.”

“Dia jadi menteri pun sekejap sahaja, tak boleh buat kerja.

“Sekarang tidak tahu apa yang dia nak seperti Si Luncai dengan labunya. Saya percaya kita tak boleh pakai kata-kata orang kecewa,” katanya.

Sebelum ini, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu melayan ajakan debat dengan Dr Mahathir dalam program “Nothing to hide 2.0” dan mengaggapnya sebagai tidak perlu.

Susulan itu, Zaid, bekas menteri undang-undang, menyifatkannya sebagai “tukang angguk” Najib, dan berkata debat itu perlu dilakukan kerana Dr Mahathir banyak menyumbang kepada negara.

“Tun Mahathir beri peluang kepada orang Melayu merasai apa makna kejayaan. Najib beri kami rasa apa makna kehidupan di negara seperti negara Taliban – miskin, tidak berpendidikan dan ganas sekali gus,” kata Zaid semalam.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini