Bot nelayan Sekinchan ditembak, dirampas Indonesia kata Budiman

0
25

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi hari ini mendakwa 1 bot nelayan ditembak dan 2 bot nelayan dirampas penguatkuasa laut Indonesia di perairan negara 18 Julai lalu.

Budiman yang mewakili nelayan Sekinchan berkata tindakan Indonesia menembak, menunda dan menahan bot berkenaan tidak sah, keterlaluan dan mencabuli perjanjian persefahaman antara kedua negara.

“Kami akan mendapatkan pandangan pihak Wisma Putera untuk tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Budiman, insiden ini melibatkan 2 kejadian yang berlaku pada hari yang sama.

Katanya, nelayan menaiki bot bernombor SLFA 5099 ternampak sebuah kapal penguatkuasa Indonesia memasuki perairan negara lalu mengejar mereka.

“Mereka meminta kapal SLFA 5099 untuk berhenti tetapi mereka tidak berhenti kerana percaya masih menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Pihak Indonesia telah melepaskan beberapa das tembakan ke atas bot SLFA 5099. Kesan tembakan terdapat pada bot itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Nelayan Sekinchan tersebut bagaimanapun berjaya melepaskan diri, tetapi bot penguatkuasa itu bagaimanapun menemui 2 nelayan lain yang menaiki bot SLFA 4641 dan SLFA 4948.

“Maklumat akhir yang kami terima ialah bot tersebut di tahan di Langsa, Acheh,” katanya.

Budiman berkata pihaknya percaya dan yakin bot tersebut berada dalam perairan Malaysia ketika kejadian, dan di luar daripada zon ekonomi eksklusif serta perairan antarabangsa.

Semalam, media melaporkan seorang pemilik bot nelayan di Sekinchan mendakwa bot miliknya ditembak secara rambang agensi penguatkuasa Indonesia pada Jumaat lepas selain dua bot lain ditahan kerana menangkap ikan di perairan negara jiran.

Bernama melaporkan Ketua Pasukan Forensik Wilayah Selatan Agendi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Leftenan Madya (M) Aieri Nizzam Norizan mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada nelayan terlibat yang mendakwa didatangi penguatkuasa Indonesia.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini