Abang Jo yakin semua isu dengan Putrajaya boleh diselesaikan

0
18

Kuala Lumpur – Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mahu rakyat Sarawak terus memberi sokongan kepadanya untuk berbincang dengan kerajaan persekutuan bagi mencapai penyelesaian secara baik mengenai isu penting berkaitan penurunan semula kuasa ke negeri itu.

Dipetik Bernama, Abang Johari berkata, Sarawak membuat keputusan bijak apabila bersetuju menjadi pihak kepada pembentukan Malaysia setelah menandatangani Perjanjian Malaysia pada Julai 1963 di London.

Bagaimanapun katanya, selama beberapa tahun, seperti yang tidak dapat dielak daripada berlaku dalam sesebuah persekutuan, pergeseran timbul antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri kerana negeri ini tidak begitu gembira dengan kuasa yang bertumpu di Kuala Lumpur.

Pun begitu menurut beliau, kebanyakan masalah berbangkit itu dapat diselesaikan melalui rundingan atas dasar tolak ansur.

“Ia (masalah) akan terus timbul, tapi tiada apa yang tidak dapat kita selesaikan sebagai rakyat.”

Bercakap pada majlis sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching di sini hari ini, Abang Johari berkata, beliau yakin semua masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan mengadakan perbincangan dengan Putrajaya.

“Kita percaya, tidak ada masalah yang tidak dapat kita selesaikan dan saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa bersikap terbuka mengenai perbincangan dengan Sarawak dalam usaha kita untuk mendapatkan kembali kuasa kita mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia, Akta Malaysia, Laporan dan Cadangan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.”

Kata beliau, selepas 22 Julai 1963, Sarawak membuktikan kepada dunia bahawa ia mampu melaksanakan pentadbiran sendiri, tanpa memerlukan bantuan mana-mana pihak dari London.

Katanya, Sarawak bertuah kerana tidak perlu mendapatkan kemerdekaan melalui peperangan dan pertumpahan darah, sebaliknya melalui rundingan kerana British tahu bahawa zaman mereka menjadi penjajah sudah berakhir dan oleh itu perlu menyerahkan apa yang mereka miliki seperti yang dijanjikan Rajah Ketiga Charles Brooke pada 1941.

“Pada mulanya, memang ada pihak yang menentang, tapi akhirnya, mereka menerima sepenuh hati dan kita berpisah sebagai kawan, bukan sebagai musuh dengan British, malah kita menjadi kawan baik British hingga ke hari ini,” kata beliau.

“Pada hari ini juga (pada 1963), kita mempunyai gabenor, ketua menteri dan Kabinet negeri pertama yang disandang anak tempatan berpandukan perlembagaan yang memberi kuasa kepada rakyat, bukan kepada beberapa pegawai di London,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, para menteri dan pegawai kerajaan negeri.

Katanya: “Malaysia adalah sebuah kisah kejayaan. Kita telah maju berlipat kali ganda sejak beberapa tahun lepas dan pendapatan per kapita serta KDNK kita juga meningkat berkali ganda.”

“Namun demikian, ia belum merupakan sebuah kesatuan yang sempurna dan kita sedang berusaha untuk mewujudkan kesatuan yang sempurna pada tahun-tahun akan datang,” kata beliau.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini