Kementerian haramkan lagu Despacito

0
38

Kuala Lumpur – Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengarahkan semua radio dan saluran televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan siaran lagu popular, Despacito serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, panel penilai RTM menarik balik kelulusan siaran lagu berbahasa Sepanyol itu selepas menerima aduan orang ramai.

“Sehubungan dengan itu, RTM memberhentikan siaran lagu tersebut di semua stesen radio dan TV RTM berkuat kuasa serta-merta ” katanya.

Bagaimanapun, Salleh berkata, lagu itu masih boleh didapati melalui saluran lain, khasnya dalam talian.

Beliau berkata, keputusan mengharamkan lagu itu disiarkan radio dan televisyen RTM kerana ia boleh mempengaruhi generasi muda.

“Oleh itu, kami meminta stesen radio lebih sensitif terhadap norma tempatan dan melakukan penapisan sendiri ke atas lagu itu, sama ada menghentikan siarannya atau memotong sebahagian audio lagu itu.”

Sebelum ini, sayap Wanita Amanah mendesak pihak berkuasa menghentikan siaran lagu itu kerana liriknya tidak sesuai.

Lagu berkenaan setakat ini ditonton lebih 2 bilion kali di YouTube.

Sebahagian lirik lagu itu berbunyi: “Biar saya bernafas perlahan-lahan di lehermu, Biar saya tanggalkan pakaianmu perlahan-lahan dengan ciuman, memasuki dinding labirin anda dan menjadikan seluruh tubuhmu satu manuskrip.”

Lagu itu mendapat sambutan hangat di seluruh dunia dengan kemunculan pelbagai parodi, termasuk daripada rakyat Malaysia.

Lagu “Despacito” turut mempunyai versi bahasa Melayu yang bertajuk “Incognito” dan kini mencecah hampir 8 juta tontonan di YouTube.

Dahulu, lagu yang disiarkan stesen radio awam perlu melalui proses penapisan dengan kata-kata sumpahan akan disenyapkan tanpa mengganggu rentak lagu itu.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini