3 ‘wira’ lawan atlet MMA ditahan tiada permit kerja

0
58

Kuala Lumpur – Selepas dipuji “wira”, 3 pengawal keselamatan dari Nepal di sebuah kondominium di Subang Jaya didapati tidak mempunyai permit kerja, lapor akhbar New Straits Times.

Ketiga-tiga pengawal itu antara 4 lelaki yang direman polis, Selasa lalu, berikutan pergelutan yang dikatakan berlaku di Kondominium USJ One sehari sebelumnya melibatkan pengawal keselamatan itu dan seorang pelawat.

Klip video kejadian itu yang tersebar di media sosial menunjukkan pelawat itu, seorang atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) berjaya ditundukkan 3 pengawal terbabit selepas beliau menendang salah seorang daripadanya.

“Pengawal keselamatan terbabit tidak memiliki dokumen sah. Mereka ada pasport, tetapi tiada permit kerja,” kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari kepada akhbar itu.

Beliau berkata, polis akan memanggil majikan pengawal keselamatan itu untuk merakam keterangannya.

Mengenai siasatan kes itu, Azlin berkata, atlet MMA itu menarik balik laporan polisnya, tetapi kes terbabit masih disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Daripada video itu, kelihatan seperti pengawal keselamatan adalah mangsa. Bagaimanapun, kita perlu menjalankan siasatan untuk menentukan keadaan sebenar sebelum video itu dirakamkan,” kata Azlin.

Dalam kejadian yang turut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) kondominium itu, atlet MMA terbabit mahu memasuki lif, tetapi dihalang seorang pengawal keselamatan itu.

Salah satu klip video menunjukkan individu terbabit menyepak pengawal keselamatan tersebut, sebelum 2 pengawal keselamatan lain muncul membantu menumbangkan lelaki itu.

Pengawal keselamatan itu bercakap dalam bahasa Nepal dan Melayu. Pengguna media sosial mengkritik lelaki berkenaan menendang pengawal keselamatan itu yang dipuji atas keberaniannya.

Ada yang berharap pengawal keselamatan itu bekerja di kondominium mereka.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini