Saya masih ahli Umno kata anak MB Johor

0
45

Kuala Lumpur – Anak menteri besar Johor Akmal Saufi Mohamed Khaled menafikan telah menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) seperti didakwa Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali menerusi sebuah rencana bertajuk “Zahid, bukan setakat Johor yang mahu ditawan”.

Akmal yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Johor Bahru berkata beliau masih lagi ahli parti malah masih bergiat melaksanakan objektif penubuhan parti Melayu itu.

“Pada hari Isnin 10 Julai 2017, saya dimaklumkan bahawa sebuah laporan telah disiarkan di sebuah laman sesawang milik Parti DAP Malaysia. Laporan tersebut secara langsung telah menuduh bahawa saya cenderung dan telah memasuki salah satu parti pembangkang di Malaysia.

“Laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana saya masih ahli Umno,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Akmal turut mendesak DAP membuat permohonan maaf terbuka kepadanya dan perlu menarik balik rencana itu.

Rencana dirujuk itu disiarkan pada Isnin lalu, yang mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pembangkang sedang giat mahu merampas Johor.

Sheikh Omar yang mengakui kenyataan Zahid itu yakin rakyat Johor akan memberi kepercayaan kepada pembangkang untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang terutamanya dengan penyertaan BERSATU.

Kata Sheikh Omar perkara itu ditambah dengan kepimpinan Mohamed Khaled yang didakwa tidak memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan generasi baru Johor termasuk Akmal yang sudah menunjukkan kecenderungan terhadap BERSATU.

“Untuk pengetahuan Zahid juga, generasi baru Umno Johor yang telah menyertai serta beralih kecenderungan kepada BERSATU, contohnya anak Khaled Nordin sendiri dan anak kepada speaker dewan negeri Johor.

“Sepatutnya sudah cukup untuk beliau (Zahid) sedari bahawa impian melihat masa depan yang cerah buat Umno di Johor adalah semakin jauh dan pudar,” tulis Sheikh Omar.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini