Dulu Mahathir guna ISA tapi sekarang tuduh kerajaan tak demokratik

0
34

Menteri komunikasi dan multimedia hari ini menjelaskan perbezaan penggunaan undang-undang antara kerajaan dulu dan sekarang.

Dalam tulisan blognya Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata perdana menteri terdahulu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) untuk mengekalkan kuasa pemimpin kerajaan.

ISA, katanya, adalah undang-undang pencegahan namun dijadikan alat untuk menghadapi pembangkang dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Misalnya, ISA digunakan dalam tragedi Memali pada 1985, digunakan untuk menahan pemimpin pembangkang dan akitivis NGO dalam Operasi Lalang pada 1987, dan digunakan untuk menyekat cabaran Anwar Ibrahim terhadap kepimpinan negara pada tahun 1998,” katanya dalam catatan terbaru di blog beliau.

Akta pencegahan – seperti Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-langkah Khas] 2012 atau Sosma – katanya, digunakan untuk mengawal keselamatan negara.

Sosma, kata Salleh, masih membenarkan andaian seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ia juga, katanya, boleh dicabar di mahkamah, berbeza daripada ISA yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara.

Salleh berkata demikian sebagai mengulas serangan pembangkang yang mendakwa kerajaan Datuk Seri Najib Razak kini tidak demokratik.

Demokrasi, komunis ada

Untuk membuktikan dakwaan itu pengkritik merujuk kepada undang-undang baru seperti Sosma, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Salleh dakwaan berkenaan adalah suatu putar belit fakta kerana akta yang disebutkan itu memenuhi peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan untuk mengawal keselamatan rakyat dan negara.

a sebegini adalah hard power yang digunakan oleh semua negara di dunia ini, baik negara demokratik atau negara komunis,” katanya.

Namun beliau suatu ketika dulu akta sedemikian digunakan “untuk mengekalkan kuasa kepimpinan pemerintah” berbanding kini yang digunakan “untuk mengawal keselamatan negara.”

Tragedi Memali berlaku pada 19 November 1985 membabitkan tindakan polis cuba menahan seorang guru agama, Ibrahim Mahmud – atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya – di kawasan rumahnya di Baling.

Tindakan itu mencetuskan pertumpahan darah apabila seramai 14 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Ops Lalang pula adalah operasi besar-besaran kerajaan pada 1987 dengan alasan bagi mengelak rusuhan antara kaum. Akibatnya seramai 106 ahli politik dan aktivis ditahan mengikut ISA.

Kedua-dua insiden itu berlaku ketika Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Kerajaan memansuhkan ISA pada 2012 dan menggantikannya dengan Sosma – suatu akta yang membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara sehingga 28 hari.

Kata Salleh, Sosma tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya seperti ISA.

“Adalah jelas, Sosma itu bukan ISA.

“Apakah pemerintah dahulu yang menahan lawan politiknya di bawah ISA itu demokratik, manakala kerajaan sekarang yang menghapuskan ISA sebagai tidak demokratik?” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini