Tayangan filem gay di Penang malam ini, dibatalkan

0
78

Kuala Lumpur – Sebuah filem asing yang memaparkan hubungan cinta sejenis yang sepatutnya ditayangkan di Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (PenangPAC) hari ini, dibatalkan.

Penyelia pentas, Arnolld Hooi, 30, berkata, tayangan Lost In Paradise itu dibatalkan akibat masalah teknikal.

“Kami terpaksa menggantikan dengan filem lain selepas mendapati terdapat beberapa adegan tidak dapat dimainkan dengan lancar ekoran masalah CD (cakera padat),” katanya.

Bagaimanapun, Arnolld enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai sensitiviti masyarakat Muslim sekiranya filem sedemikian tetap diteruskan tayangan.

“Saya tidak dapat memberi apa-apa komen mengenai perkara itu buat masa ini,” katanya.

Semalam media melaporkan, Lost in Paradise dari Vietnam yang diarahkan oleh Vu Ngoc Dang – yang memaparkan kisah hubungan sejenis antara dua watak utama – sepatutnya memulakan tayangan pada pukul 8 malam hari ini.

Diganti drama muzikal

Tayangan filem keluaran 2011 yang mengambil tempat di Tanjong Tokong itu bagaimanapun dibuka untuk golongan dewasa saja.

PenangPAC juga dalam status Facebook sebelum ini berkongsi poster Lost in Paradise termasuk serba sedikit maklumat mengenai filem berkenaan “Filem dunia terbaik bulan ini, kami persembahkan filem gay Vietnam pertama.”

Bagaimanapun, status berkenaan telah pun diturunkan.

Menerusi Facebook, PenangPAC mengumumkan slot malam ini akan diisi dengan filem muzikal West Side Story.

“Kami meminta maaf atas segala kesulitan yang dihadapi.

“Lost in Paradise akan digantikan dengan filem berasal dari Amerika Syarikat terbitan 1961, West Side Story,” menurut kenyataan itu.

West Side Story adalah filem berkonsep drama memaparkan kisah moden Romeo dan Juliet yang terbabit dalam kumpulan samseng jalanan New York.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini