Tak lengkap kalau tak pekena ‘air sarbat’ di Georgetown

0
27

MELINTASI Lebuh Tamil di tengah bandaraya Georgetown bagaikan tidak lengkap kunjungan ke Pulau Mutiara jika tidak singgah ke deretan kedai yang dipenuhi dengan jualan juadah sinonim dengan masyarakat negeri ini.

Nasi kandar sememangnya antara yang menjadi tumpuan ramai di situ, namun ada satu lagi tarikan yang menggamit pengunjung – ada yang memanggilnya ais tingkap, juga dinamakan ais dinding, tapi rasanya lebih dikenali ramai dengan air sarbat.

Dinamakan ais tingkap kerana ketika operasi perniagaan ini bermula pada 1928, pengasasnya, Abdul Azeez menjual minuman menyegarkan itu pada harga 10 sen segelas melalui tingkap pada dinding bangunan di situ.

Usaha dan kreativiti Abdul Azeez yang berhijrah dari Sri Lanka itu bakal menjangkau ulang tahun ke-90 dan kini diuruskan tujuh beradik yang juga cucunya.

Resipi yang diwarisi hingga generasi ketiga ini masih mengekalkan cara penyediakan air sarbat asli dan ia kini dijual pada harga RM2.50 segelas.

Penghasilannya juga sesuatu menarik perhatian ramai kerana kepakaran Mohd Taufique Seeni Mohamed yang pantas memarut ais, mengisi deretan gelas dengan air kelapa, air gula yang dimasak dengan daun pandan, biji selasih, kembang semangkuk, getah anggur, isi kelapa dan juga semburan herba yang memberi kelainan kepada hidangan yang wangi itu.

Menurut abangnya, Mohamed Almi, tanpa mengira musim, gerai ini sentiasa dipenuhi pelanggan yang menggemari minuman itu, termasuk yang sakit tekak.

“Bahan yang digunakan untuk menyediakan minuman ini sesuai untuk yang sakit tekak, ada pelanggan kami mengakuinya,” katanya.

Keakraban tiga daripada tujuh beradik itu, termasuk Mohamed Jafri ternyata antara resipi utama yang memastikan perniagaan yang diwarisi sejak sekian lama itu masih mampu berdiri kukuh untuk terus mempertahankan usaha datuk mereka.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini