Polo Sukan SEA: TMJ ‘terlebih layak’ berbanding KJ kata pengurus pasukan

0
3421

Kuala Lumpur – Setiap pemain dalam sukan polo akan bermula dengan “handicap -2”, iaitu ukuran kebolehan mereka dalam sukan berkuda itu.

Dalam sukan polo, handicap 10 merupakan handicap tertinggi, dan pada masa ini, hanya 8 orang pemain polo sahaja di dunia yang memiliki handicap 10.

Menjelaskan sistem penilaian itu, Pengurus Pasukan Polo Negara, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim memberitahu sebuha prtal berkata, handicap itu meningkat sekiranya pemain kerap menyertai pertandingan dan punyai prestasi mengagumkan.

Pada Sukan SEA yang akan datang, Malaysia perlu akur dengan permintaan Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei untuk menurunkan handicap perlawanan iaitu di antara 5 hingga 8.

Beliau diminta mengulas kritikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini yang mempersoalkan seorang ahli politik yang “tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo” dipilih mewakili negara.

Walaupun TMJ tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin merupakan antara yang terpilih mewakili negara dalam skuad polo pada Sukan SEA yang bakal diadakan di Kuala Lumpur tahun ini.

Zekri berkata menteri belia dan sukan itu dinilai secara terperinci sebelum dipilih dan berjaya melepasi proses saringan seperti ujian kecergasan, tunggangan dan pukulan.

“Setakat ini, sewaktu Khairy bermain untuk pertandingan terbuka Malaysia yang berlangsung pada minggu lepas, prestasinya sebagai pemain baik.

“Dalam 2 perlawanan yang Khairy main pada Jumaat dan Selasa lalu, tidak dinafikan dia turut menyumbang kepada kemenangan pasukan. Dia ada menjaringkan gol, bermain mengikut taktikal ditetapkan jurulatih,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Zekri berkata itu tidak bermakna Khairy lebih layak daripada pemain polo profesional lain, termasuk TMJ, yang pasukan polonya Johor Ellerstin bakal bertanding pada kejohanan polo antarabangsa Jockey Club di Argentina pada September ini.

‘Khairy cuma handicap 0’

Sebaliknya, Zekri berkataTMJ terlebih layak, sedangkan Khairy cuma di peringkat handicap 0 dalam sukan itu.

“TMJ mempunyai handicap yang tinggi. Kalau tidak salah baginda di kedudukan handicap 3 iaitu salah satu handicap tertinggi di Malaysia,” kata Zekri kepada FMT.

“Baginda punyai kelebihan dalam mengelecek dan mengawal bola. TMJ miliki pendedahan luar negara yang hebat kerana banyak sertai pertandingan antarabangsa,” tambahnya, sambil berkata golongan diraja Pahang dan Perak juga merupakan pemain hebat polo.

Zekri berkata ia juga antara sebab mengapa TMJ tidak boleh menyertai skuad polo Sukan SEA mewakili Malaysia.

“Kadang-kala pemain polo ini memang perlukan handicap tinggi tetapi di tahap Sukan SEA, kadar handicap itu diturunkan iaitu 5 hingga 8 handicap. Ia supaya kita dapat lengkapkan 8 pasukan,” katanya.

Sebelum ini, TMJ yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam artikel meluahkan kebimbangannya mengenai situasi negara, menyindir seorang ahli politik yang menyertai pasukan polo kebangsaan.

“Ia (Malaysia) telah menjadi tempat di mana ahli-ahli politik mahu menjadi selebriti dan ahli sukan. Di mana seseorang yang tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo boleh dipilih untuk mewakili negara,” katanya dalam kiriman di Facebook Johor Southern Tigers.

Ia disusuli dengan cabarannya kepada skuad polo Sukan SEA untuk berentap dengan pasukannya, Johor Ellerstin.

TMJ turut mempersoalkan Zekri mengenai kebolehannya dalam suka polo.

“Bukankah saya pernah mengalahkan pasukan yang Datuk wakili dulu sebanyak 10-0 dan 11-0 semasa satu pertandingan polo di Pekan, Pahang?

“Macam mana anda boleh mewakili negara? Saya ingat hanya seorang sahaja yang melobi mewakili negara, rupa-rupanya ramai lagi yang melobi untuk mewakili negara ke Sukan SEA,” katanya.

Zekri berkata, beliau mengimpikan untuk bermain dalam satu pasukan bersama Tunku Ismail dan beberapa lagi pemain sukan polo seperti Saladin Mazlan.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini