Gerakan beri 72 jam pada Guan Eng

0
41

Kuala Lumpur – Parti Gerakan Malaysia hari ini menghantar notis tuntutan guaman kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya membuat permohonan maaf secara rasmi kepada parti berkenaan.

Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat dalam sebuah sidang media dan ia mesti dilakukan dalam masa tiga hari bermula hari ini.

Menurut Liang, notis tuntutan itu berhubung kenyataan Lim yang berulang kali mengeluarkan kenyataan yang didakwa bersifat fitnah terhadap Gerakan ketika parti itu memerintah Pulau Pinang bawah pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Koon.

Liang berkata, Lim berulang kali memfitnah Koh dengan mendakwa bekas ketua menteri Pulau Pinang itu telah menjual tanah penambakan di Tanjung Tokong (Sri Tanjung Pinang) kepada pemaju pada tahun 1990-an dengan harga RM1 kaki persegi.

Harga RM1 kaki persegi itu adalah untuk keluasan 980 ekar tanah yang bernilai RM42.7 juta, kata Liang.

“Kami di Gerakan dengan secara tegasnya menyangkal dakwaan Lim dan mengecam tindakan beliau memfitnah Gerakan dan Tan Sri Koh.

“Kami telah berbincang dengan para pemimpin dan anggota-anggota parti serta mendapat pandangan profesional daripada peguam parti dan akhirnya kami membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya untuk mempertahankan nama baik, imej dan kepentingan parti serta bekas presiden Tan Sri Koh Tsu Koon.

“Kenyataan yang dikeluarkan Lim telah menyebabkan Gerakan dan Tan Sri Koh menjadi mangsa di bawah sindiran atau dakwaan beliau yang tidak berasas, tidak tepat dan bersifat memfitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, anggota parlimen Simpang Renggam itu menjelaskan, berdasarkan fakta, penjualan tanah berkenaan merupakan perjanjian konsesi penambakan tanah yang diberikan pada 1992.

Justeru, tegasnya, tidak wujud sama sekali jualan tanah Tanjung Pinang seperti yang didakwa Lim.

“Dengan itu, kami mempunyai sebab yang kukuh dan munasabah untuk mempercayai bahawa dakwaan yang dibuat Lim berniat tidak baik dan terancang.

“Lim dengan jelas telah melintasi garisan merah dan ia dibuat dengan niat jahat untuk memburuk-burukkan reputasi dan imej kami.

“Kami telah berjaya mengumpul bukti-bukti yang cukup kukuh dan menyeluruh yang menunjukkan bahawa Lim telah banyak kali memfitnah Gerakan dan Tan Sri Koh sejak tahun 2012 sehingga kini.

“Beliau harus bertanggungjawab atas tindakan yang dibuat,” kata Liang lagi.

Sehubungan itu, Liang memberitahu, Ketua Biro Undang-undang Pusat Gerakan, Datuk Baljit Singh akan mewakili parti berkenaan dalam usaha untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim.

“Saya cukup yakin bahawa kami mempunyai kedudukan dan bukti yang kukuh dalam kes ini, kami sedia menunggu jawapan daripada pihak Lim,” tambahnya lagi.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini