Didera ibu bapa angkat, budak satu tahun mati

0
49

Johr Bahru – Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan kritikal selepas dipercayai didera ibu bapa angkatnya, dekat sini, semalam, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, tengah hari tadi.

Ketua polis daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata Muhammad Al Fateh Abdullah, 21 bulan (setahun sembilan bulan), menghembuskan nafas terakhir kira-kira 12.45 tengah hari.

Allahyarham yang dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak HSNI pada petang Ahad lepas bergantung kepada alat bantuan pernafasan sebelum ini.

Abdul Wahib dalam satu kenyataan di sini berkata bedah siasat akan dilakukan pagi esok bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata polis akan membuat tangkapan baharu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Berikutan hasil laporan HSNI yang mendapati mangsa disyaki didera, polis telah menahan ibu bapa angkat Allahyarham masing-masing berusia 30 dan 34 tahun di rumah mereka semalam dan direman sehingga Khamis ini.

“Melalui siasatan awal, pasangan ini mempunyai lapan orang anak namun, mangsa adalah satu-satunya anak angkat yang diambil sejak lahir daripada seorang wanita warga tempatan,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan oleh doktor semalam, terdapat kesan-kesan kecederaan lama dan baharu seperti lecur pada tubuh mangsa.

Doktor juga mengesan mangsa pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana pelbagai sebab termasuk mengalami sawan, dipercayai menghidap tibi dan retak pada lengan kanan.

Mangsa juga dilaporkan pernah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diberikan perlindungan, namun diserahkan semula ke pangkuan keluarga angkat selepas beberapa tempoh. — Bernama

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini