Mufti seru ‘pencabul’ poster wanita Shell bertaubat

0
373

Kuala Lumpur – Individu yang “mencabul” poster iklan wanita Shell, yang kontroversi, dinasihat bertaubat dan menjadi Muslim lebih baik.

Mufti Wilayah Persekutuan berkata kelakuan lelaki itu memalukan, menjatuhkan maruah dan tidak wajar dilakukan oleh seorang Islam yang baik.

“Kami menasihatkan beberapa individu yang telah berbuat demikian terhadap standee wanita tersebut wajar bertaubat dan berubah menjadi Muslim yang lebih baik,” kata Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan terbaru semalam.

“Mempamerkan akhlak yang mulia dan unggul merupakan keindahan dan nilai yang tinggi dalam masyarakat. Kemuliaan budilah yang membezakan manusia dan haiwan liar.”

Menulis di laman webnya Bayan Linnas, beliau memuji tindakan Shell menurun semua poster wanita terbabit bagi “menutup pintu-pintu fitnah” dalam masyarakat.

“Kami percaya akan kebijaksanaan pihak Shell dalam menangani isu ini dan bersedia untuk memberikan buah fikiran dan pandangan sekiranya ada keperluan,” katanya.

Kelmarin perdana menteri ketika mengulas dalam blog berkata kejadian itu mengecewakan dan memalukan walaupun ada yang berniat untuk sekadar berjenaka.

Datuk Seri Najib Razak turut meminta semua pihak berhenti memperlakukan wanita sebagai satu objek.

Minggu lepas, suami model wanita itu, yang menular di media sosial susulan imej dicium dan diraba, dilaporkan kurang selesa melihat imej itu “dicabul.”

Namun Nor Shafila Khairusalleh, 25, bersyukur kerana suaminya memahami situasi sebenar yang harus ditempuhinya.

Beliau tidak kisah sangat dengan aksi “nakal” pelanggan-pelanggan lelaki, termasuk cium dan peluk tetapi bimbang dengan aksi keterlaluan.

“Kalau usik sikit-sikit macam tutup mata, tarik hidung atau peluk pun saya boleh terima lagi sebab ia hanyalah poster.

“…tapi kalau ke arah mencabul atau seks, saya anggap ia melampau.

“Mereka mungkin mahu bergurau, tapi saya rasa segan (malu) sebab itu diri saya walaupun ia hanya sekeping gambar,”.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini