Lokap polis sesak dengan tahanan

0
3412

Putrajaya – Seorang ketua lokap hari ini mengakui kebanyakan lokap polis penuh sesak sehingga menyebabkan ramai tahanan, termasuk juvenil terpaksa berhimpit dalam 1 sel.

Ketua lokap berpusat di Shah Alam, ASP Mazhar Mohamad berkata, biasanya sebuah sel besar boleh memuatkan 8 tahanan.

“Tetapi, kadangkala ia penuh sesak dengan 20 tahanan.

“Keadaan ini berlaku di mana-mana lokap, malah di stesen polis kecil. Ini kerana kadangkala semasa operasi, 60 orang ditahan,” katanya.

Lokap polis berpusat di Shah Alam boleh memuatkan sehingga 234 tahanan, tetapi “kadangkala lebih ramai tahanan dibenarkan”.

Berhubung jumlah kakitangan, beliau berkata, mereka sepatutnya mempunyai 189 anggota, tetapi kini hanya ada 156 orang.

Katanya, disebabkan kekurangan penyelenggaraan, 19 daripada 88 lokap tidak berfungsi.

Mazhar berkata, antara masalah dihadapi ialah tandas tersumbat, kekurangan lampu dan masalah air.

Beliau berkata demikian pada pendengaran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini untuk menentukan sama ada wujud sebarang salah laku polis dalam kematian suspek curi kereta, S Balamurugan ketika dalam tahanan polis.

Dia ditahan di Jalan Batu Belah, Klang, pada 6 Februari lalu, tetapi meninggal dunia keesokannya di ibu pejabat polis daerah Klang Utara.

Setakat ini, 39 saksi dipanggil memberi keterangan dalam kes itu. Mereka termasuk ahli keluarga, anggota polis, seorang ahli patologi dan tahanan.

Mazhar berkata, beliau dan pasukannya meminta peruntukan untuk membaiki lokap, tetapi permintaan itu ditangguhkan akibat kekurangan dana.

“Bajet penyelenggaraan berjumlah jutaan ringgit. Penghawa dingin pusat juga tidak berfungsi.”

Beliau berkata, pegawai yang ingin tahu lebih lanjut mengenai prosedur operasi standard lokap boleh mendapatkan maklumat di laman web polis.

Pendengaran awam EAIC diketuai Yaacob Md Sam. Beliau bertanya Mazhar mengenai prosedur lokap dan bagaimana seorang juvenil ditahan bersama Balamurugan dan tahanan dewasa lain.

Mazhar berkata, beliau menyertai operasi sempena Thaipusam di Batu Caves ketika itu, jadi beliau tidak tahu mengenai pengurusan di kemudahan terbabit.

Kekurangan lain di lokap Shah Alam termasuk baju seragam berwarna jingga untuk tahanan.

Katanya, tempahan terakhir diterima kira-kira 5 atau 6 tahun lalu, apabila lokap berkenaan ditubuhkan dan kadangkala baju seragam tidak cukup diberikan kepada tahanan.

Beliau berkata, bilik untuk melakukan ujian fizikal tahanan juga tidak berfungsi dengan baik.

Sehubungan itu, katanya, pemeriksaan terpaksa dibuat di dalam sel sementara, ketika tahanan menukar baju seragam.

Jika wujud sebarang kecederaan fizikal, Mazhar berkata, tahanan akan dibawa ke hospital segera dengan ditemani 2 anggota polis.

Tahanan juga perlu mengisytiharkan jika mereka menghadapi sebarang masalah kesihatan ketika proses dimasukkan ke lokap.

Bagaimanapun, rakaman CCTV dari kemudahan lokap yang disiarkan pada pendengaran hari ini menunjukkan tiada anggota polis hadir dalam sel sementara untuk melakukan pemeriksaan ketika Balamurugan dan tahanan lain menukar baju seragam.

Berhubung keadaan ini, Mazhar mengakui ia adalah kelemahan di kalangan anggota polis.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini