Lelaki bayar harga makanan anggota polis dan tentera, tanda terima kasih

0
7623

Oleh: Zulkifli Mat Rawi

Kuala Lumpur – Terharu dengan tugas yang diberikan, seorang lelaki bertindak membayar harga makanan anggota polis dan tentera sebagai tanda penghargaan.

Jagdish Singh, 31 menurut cacatan di Facebooknya berkata, ketika kejadian dia terlihat empat orang anggota polis dan tentera tersebut sedang menjamu selera di sebuah gerai di Bukit Bintang.

“Saya makan tengah hari agak lewat di gerai kawasan Bukit Bintang ini. Saya ternampak dua anggota tentera dan dua anggota polis sedang makan bersama-sama dengan senjata di tangan.

“Saya buka dompet dan tengok hanya ada RM20 sahaja. Saya beritahu pelayan yang saya nak pergi ke bank bersebelahan kedai sebentar untuk mengambil wang (selepas) balik dari bank, saya lihat mereka masih berada di situ,” katanya baru-baru ini.

Menurut Jagdish, dia kemudiannya membayarkan kos makanan anggota keselamatan terbabit dengan rela hati sebagai tanda terima kasih kerana mereka sanggup membahayakan nyawa sendiri untuk kesejahteraan orang lain.

“Lalu saya menyuruhnya kirakan sekali harga makanan saya dengan harga makanan mereka kerana saya mahu membayar untuk mereka. Lagipun, berapalah sangat harga makanan yang mereka makan. Total hanya RM30 untuk mereka berempat.

“Setakat RM30 itu, cukup ke untuk kerja yang mereka lakukan yang melindungi nyawa orang lain dan bahayakan nyawa diri sendiri? Boleh ke duit itu membeli nyawa mereka kalau mereka mati? Jadi apa maksud RM20 atau RM30 itu untuk saya? Ia hanya satu nilai di atas sekeping kertas,” luahnya.

Menurutnya lagi walaupun bukan datang dari keluarga yang berada, namun ia tidak menghalang dirinya untuk berkongsi duit yang ada dengan orang lain.

“Sudah 31 tahun saya hidup dan katakan tiba-tiba kalau saya mati esok, kertas itu tidak akan bagi apa-apa manfaat pada saya. Saya mengaku saya tidaklah berduit sangat tetapi apa yang menghalang saya dari memberi? Apa yang membuatkan kita berfikir dengan hanya membuat duit, simpan dan kumpul bertan-tan duit dan selepas itu digunakan untuk diri sendiri akan membuatkan kita bahagia?

“Duit itu boleh menjamin hidup kita kekal ke? Sudah tentu tidak! Kalau hari ini saya tidak menghabiskan RM50 ini untuk orang lain, saya mungkin tengah minum di pub dan enjoy. Mungkin pergi beli baju berjenama yang baru, makan malam di Tony Roma’s ke, minum di Starbucks ke, paling tidak pun isi minyak kereta sampai penuh,” katanya lagi.

Di akhir catatanya, dia turut menyarankan agar masyarakat di negara ini tidak terlalu berkira dan belajar untuk menghargai nilai dalam menjalani kehidupan ini.

“Tetapi cuba fikirkan betul-betul, itu saja ke yang penting dalam hidup kita? Hidup ini hanya tentang diri kita sahaja ke? Bukan ke kita semua ini manusia dan hidup untuk matlamat yang sama? Jadi kenapa nak kedekut sangat?

“Hari ini, RM50 yang saya keluarkan tidak membuatkan saya hilang senyuman, rasa lapar atau sedih. Saya juga tidak menyesal dan pastinya saya tidak akan jatuh miskin. Apa yang saya hilang, saya sentiasa boleh dapat semula.

“Perkara ini membuatkan saya sedar tentang apa yang kita ada hanyalah satu nilai di atas kertas. Tetapi kalau kita letakkan nilai kertas ini pada diri kita sendiri, barulah hidup ini benar-benar berbaloi. Hidup ini bernilai, hanya kalau kita ada nilai, di akhir hayat, semua yang kita ada adalah semua yang kita pernah berikan,” ujarnya pula mengakhiri catatan tersebut. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini