Kematian Thaqif kerana kencing tikus bukan dera kata KP Kesihatan

0
104

Johor Bahru – Laporan bedah siasat mendapati kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, pada 26 April lalu berpunca daripada Leptospirosis atau kencing tikus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bedah siasat yang dijalankan pada hari sama pelajar itu meninggal dunia menggunakan sampel tisu dan darah sebelum dihantar ke Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia bagi dianalisis.

Susulan kejadian itu, katanya, Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan dengan dianggotai Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes rumit.

“Hasil bedah siasat mendapati pelajar tahfiz terbabit meninggal dunia kerana penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang menjadi viral.

“Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah,” katanya.

Allahyarham Thaqif dimasukkan ke hospital pada 19 April lalu selepas kedua-dua belah kakinya bertukar warna kehitaman, didakwa dipukul dengan menggunakan paip getah oleh warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman, sementara tangan kirinya yang turut ‘kehitaman’ dijadualkan dipotong, namun tidak sempat dilakukan ekoran kanak-kanak itu meninggal dunia.

Pada 18 Mei lalu, kubur pelajar itu digali semula bagi membolehkan sampel kaki Thaqif diambil untuk tujuan siasatan.

Sementara itu ibu pelajar tahfiz itu menolak laporan bedah siasat yang merumuskan kematian anaknya berpunca daripada Leptospirosis atau kencing tikus.

Sambil meluahkan rasa kecewa, Felda Wani Ahmad turut mempersoalkan mengapa pihak hospital perlu memotong kaki anaknya jika betul allahyarham Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan dengan awal.

“Secara logik, kalau kencing tikus, kenapa nak potong kaki? Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat satu atau dua minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini.

“Saya ni cikgu, tidak payah manipulasi yang bukan-bukan. Saya memang terkilan. Daripada arwah (Thaqif) masuk hospital, doktor kata tak tahu kuman apa. Ini tiba-tiba beritahu kencing tikus, tak masuk akal. Saya tidak boleh terima,” katanya.

Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Mohammad Afdhaluddin Ismail pula memaklumkan pihaknya tidak pasti bila pelajar berkenaan dijangkiti kencing tikus.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Thaqif dijangkiti dari kawasan madrasah.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini