Bekas MB Selangor batal hasrat dapat kembali banglo dirampas

0
197

Putrajaya – Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Zahrah Kechik bertindak di luar jangkaan hari ini dengan menarik balik permohonan semakan rampasan banglo “gaya Bali” mereka di Mahkamah Persekutuan.

M Athimulan yang mewakili pasangan itu, memaklumkan panel hakim anak guamnya menarik balik tindakan mereka selepas mengkaji afidavit difailkan kerajaan dan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

“Arahan anak guam kami ialah menarik balik permohonan semakan selepas mengkaji afidavit pihak berkaitan dan keputusan mahkamah,” katanya kepada panel 5 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif.

Raus kemudian membatalkan permohonan semakan yang difailkan pasangan itu tahun lepas.

Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili kerajaan.

Dr Khir dan Zahrah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan penjelasan berhubung perintah Mahkamah Tinggi bagi merampas 2 lot tanah dan sebuah banglo mereka.

Pada 29 September 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara ke atas Dr Khir yang didapati bersalah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan banglo di Shah Alam.

Bekas adun Sungai Panjang itu kemudiannya menjalani hukuman penjara itu, tetapi dilepaskan 6 bulan lebih awal dari penjara kerana berkelakuan baik.

Dia didapati bersalah membeli 2 lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam untuk diri dan isterinya, daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta berbanding harga pasaran RM6.5 juta.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini