Jururawat di Klang terkejut bom dilekat di kereta

0
31

JURURAWAT berusia 27 tahun berdepan detik cemas selepas sejenis bom buatan sendiri ditemui di keretanya dalam kejadian di Kapar, Klang, malam tadi.

Kejadian berlaku pada 10 malam ketika wanita itu memandu Proton Saga dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketika memandu, jururawat itu terdengar bunyi pelik sebelum berhenti di rumah bapa saudaranya di Taman Damai, Kapar untuk meminta bantuan.

Beliau berkata, pemeriksaan bapa saudaranya menemui sejenis objek yang diubahsuai seperti bahan letupan dilekat di bumper kereta mangsa.

Menurutnya, polis dihubungi dan sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Selangor ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan adalah peranti letupan atau Improvised Explosive Device (IED).

“Ia boleh menyebabkan letupan kecil dan mungkin boleh meragut nyawa,” katanya hari ini.

Fadzil berkata, IED itu dimusnahkan di kawasan padang bola bersebelahan Balai Polis Kapar dengan menggunakan robot pemusnah bom (TEODOR), 2.30 pagi tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Letupan 1957.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini