Gempar, ‘rusuhan’ di KLCC

0
4969

Kuala Lumpur – Kawasan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini gempar apabila sekumpulan lelaki secara tiba-tiba ‘merusuh’ serta mencetuskan kekecohan dengan membaling botol ke arah orang ramai yang berada di kawasan itu.

Lebih 20 lelaki berpakaian hitam, bertopeng dan mengibar bendera merah berada di kawasan tumpuan pelancong itu kira-kira 10 pagi dan dilihat memaki hamun pihak polis serta pengawal keselamatan apabila diminta bersurai secara aman.

Mereka turut bertindak merempuh dan memukul anggota polis sebelum anggota pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan mereka.

Bagaimanapun, insiden selama satu jam itu hanyalah latih amal Ex-Rimau 2017 yang diadakan di KLCC sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Ke-29 yang akan berlangsung bulan depan.

PDRM dalam kenyataan semalam berkata pegawai dan anggota polis akan berada di sekitar lokasi itu bagi latih amal yang bermula Ahad sehingga esok pada 8 pagi hingga 2 petang.

Kenyataan itu berkata latih amal berkenaan meliputi pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Tindakan Khas (UTK), 69 Komando, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota-anggota tugas am.

Selain itu, latihan berkenaan dapat menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan serta peranan dan tugas Komander-Komander Briget sebagai ketua Pasukan Tindakan Krisis (CRT).

Sempena persiapan menjelang Sukan SEA pada 19 hingga 30 Ogos ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan PDRM supaya mengadakan latih amal persiapan sebanyak lima siri termasuk di KLCC. – Bernama

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini