Bukan semua ustaz baik dan maksum kata mufti Perlis

0
843

Kuala Lumpur – Mufti Perlis meminta ibubapa di negara ini tidak begitu memahami ataupun memikirkan secara seimbang ketika menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama dan tahfiz.

Menurutnya disebabkan tidak mendalami agama dalam erti kata yang sebenar ramai dikalangan mereka kurang mengambil berat tentang kualiti sekolah tersebut sebelum menghantar anak-anak untuk belajar.

“Ibubapa hendaklah sedar, bahawa anak-anak kita membesar dan akan hidup di era ini. Era yang penuh dengan cabaran terhadap agama dan menuntut kemampuan memahami teks dalam konteks yang betul. Justeru itu, pendidikan agama yang baik hendaklah diseimbangkan dengan keperluan cabaran masa kini.

“Demikian, amat penting untuk difahami bahawa menjadi ilmuwan agama bukan sekadar menghafal nas dan bernasyid semata, tetapi hendaklah mampu memahami apa yang dihafal dan dapat menghuraikan makna Islam selaras dengan tuntutan semasa,” tulisnya melalui catatan di Facebook sebentar tadi.

Asri turut menegaskan ibubapa seharusnya sedar selain bersolat dan berzikir, anak-anak tersebut juga perlu di lengkapkan dengan ilmu untuk mencari rezeki yang halal apabila besar kelak.

Menurutnya sebagai ilmuwan Islam mereka bukan sekadar perlu menghafal nas dan bernasyid semata, namun perlu dilengkapkan dengan mata pelajaran akademik ataupun ilmu kemahiran hidup sebagai persedian di masa hadapan.

“Ibubapa hendaklah tahu bahawa bukan semua yang dipanggil ustaz itu baik kualiti bahasa Arab dan bagus pengetahuan agamanya. Lebih daripada itu, gelaran ustaz bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga kita boleh mempercayai segala yang dia beritahu tanpa penelitian dan siasatan. Maka, langkah berwaspada untuk masa depan anak-anak kita adalah sesuatu yang dituntut.

“Terdapat sekolah tahfiz dan agama swasta yang baik , mengikut peraturan dan berkualiti. Ini dapat diukur dengan banyak ciri, antaranya kualiti kelulusan guru-guru yang mengajar, sukatan pelajaran dan persekitaran pembelajaran. Secara umumnya, sekolah-sekolah agama ataupun tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan diurus tadbir dengan baik di sudut kualiti pelajaran,” katanya lagi.

Asri turut menjelaskan terdapat sekolah agama dan tahfiz diwujudkan tanpa keperluan yang sepatutnya malah ada dikalangan mereka turut mempunyai pelbagai tujuan peribadi.

“Ada ustaz dia sendiri gagal dahulunya gagal dalam pendidikan, akhirnya membuka sekolah sendiri tanpa memiliki sijil ataupun latihan pendidikan yang sepadan. Apakah lagi untuk memiliki diploma atau sijil perguruan. Akhirnya, mereka menjadi tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu dalam bidang pendidikan dan kaedah ataupun pedagogi pengajaran.

“… bagi menjimatkan kos gaji guru, mereka mengambil sesiapa sahaja yang bersedia mengajar sekalipun bukan bidang berkaitan. Maka tenaga pengajar yang tidak cekap, tidak berpengalaman dan ‘bidan terjun’ ataupun ‘tangkap muat’ mengajar di sekolah-sekolah tersebut.

“Individu yang tidak begitu tahu bahasa Inggeris mengajar Bahasa Inggeris, yang tidak mahir matematik mengajar matematik, sains, sejarah dan seterusnya. Sebahagian mereka bekerja ini hanya sementara menunggu peluang pekerjaan lain, maka tahap tanggungjawab juga rendah,” ujarnya pula.

Asri turut mendedahkan terdapat pemilik sekolah agama dan tahfiz ini turut mengunakan nama sekolah bagi mengutip derma dan sumbangan sehingga membolehkan mereka hidup dalam keadaan mewah.

“Lebih dukacita lagi, ada yang menggunakan pelajar untuk mengutip derma sehingga kita lihat, anak-anak tahfiz di lebuh raya, kedai makan, pasaraya dan seumpamanya untuk mengutip wang daripada orang ramai.

“Dukacita, akhirnya yang menjadi mangsa ialah ibu bapa dan anak-anak muslim yang ingin mencari ilmu agama tetapi tersalah tempat kerana ‘sangkaan’ baik kepada pusat-pusat tahfiz ataupun sekolah agama yang sedang tumbuh bagaikan cendawan ini,” tegasnya. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini