Mereka anggap wanita objek yang boleh dipegang, dicabul kata SIS

0
209

Kuala Lumpur – Sisters in Islam (SIS) menegaskan penggunaan imej wanita dalam pengiklanan bukan masalah pokok di sebalik insiden iklan pekerja Shell diperlakukan dengan aksi tidak senonoh, tetapi isu yang harus dipersalahkan adalah “perlakuan lucah itu sendiri.”

Merujuk kepada kontroversi membabitkan iklan Shell, SIS berkata, pandangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kelmarin mengalihkan beban tanggungjawab perlakuan lucah lelaki-lelaki terbabit terhadap iklan yang memaparkan imej wanita.

Pertubuhan bukan kerajaan itu berkata, perlakuan lucah terhadap wanita tidak patut diterima sebagai hanya suatu gurauan atau perkara yang biasa.

“Ia mencerminkan pemikiran bahawa wanita dianggap hanya sebagai objek yang boleh dipegang, dibelek dan dicabul sesuka hati dan bukan insan manusia yang mempunyai martabat diri dan patut dihormati.”

Dalam laporan dibawa FMT, Isma menganggap apa yang terjadi ke atas Nor Shafila Khairussalleh, yang gambarnya di atas papan poster Shell menjadi sasaran pelakuan tidak senonoh, adalah kerana Shell menggunakan wanita dalam iklannya.

“Menggunakan wanita untuk melariskan jualan tetap merupakan perbuatan mengeskploitasi yang menyimpang daripada nilai kesucian wanita dalam Islam,” kata Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman kepada FMT.

“Ia sewajarnya menjadi pengajaran.”

Pelbagai pihak baru-baru ini meluahkan kemarahan selepas gambar beberapa individu melakukan aksi lucah terhadap papan poster yang memaparkan Nor Shafila, 25, seorang pengurus di salah sebuah stesen Shell.

Susulan itu, iklan tersebut telah diturunkan oleh Shell, sementara Nor Shafila kesal dengan perbuatan segelintir lelaki yang menurutnya melampaui batas.

“Kelakuan seperti menutup mata, mencubit hidung dan walau peluk sekalipun saya masih boleh terima kerana ia hanyalah sekeping poster. Tetapi jika apa yang dilakukan berbentuk gangguan seksual, saya rasa ia melampaui batas,” kata Shafila.

Tetapi Abdullah berkata wanita itu turut bersalah.

“Wanita yang bermaruah tidak patut terima untuk menjadi model mempromosikan jualan, walaupun dia menutup aurat dan memakai tudung,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, SIS berkata, gangguan seksual dan kekerasan terhadap wanita tidak berlaku tanpa keadaan atau persekitaran yang menerima pemikiran bahawa wanita boleh diperlakukan sebegitu.

Ia menambah, keadaan itu menunjukkan keadaan masyarakat yang tidak langsung menghormati wanita.

Sehubungan itu SIS berkata, tindakan menyembunyikan wanita dari ruang awam atau mengurangkan pilihan dan peluang bagi wanita untuk menduduki ruang awam dengan selamat bukanlah jalan penyelesaian untuk membina dan mengukuhkan ruang yang selamat bagi wanita.

Sebaliknya SIS berkata, ‘menjadi tanggungjawab kita semua sebagai masyarakat di Malaysia untuk membina, memupuk dan mengukuhkan setiap ruang, termasuk ruang pemikiran, ruang fizikal dan ruang maya, sebagai selamat bagi semua dewasa dan kanak-kanak, tidak kira gender atau agama.”

Pada masa yang sama, kata SIS, perbuatan atau kenyataan yang mencabul, menghina atau merendahkan martabat wanita tidak boleh sekalipun diterima sebagai norma masyakarat dan mesti ditentangi dengan sesungguhnya.

“SIS berasa amat kesal atas kejadian ini dan menyeru agar kita semua mengambil langkah proaktif untuk mendidik diri, keluarga dan masyarakat sekeliling bahawa kaum wanita adalah manusia yang wajar dihormati di setiap ruang, pada setiap masa.” katanya.ya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini