Jangan sampai kita pula buka aib Tun M, kata Zahid

0
100

Bagan Datuk – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak terlalu ghairah mengkritik kerajaan kerana tindakan yang sama juga boleh dilakukan terhadapnya.

Ujar Zahid, segala aib dan kepincangan sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri juga akan didedahkan sekiranya pemimpin itu berterusan mengaibkan kerajaan.

Ujarnya juga, sebagai manusia biasa, Dr Mahathir sudah tentu ada kelemahan dan kesilapan namun semua itu ditutup demi menghormatinya.

Namun, tegas beliau, tindakan Mahathir mengkritik Umno dan kerajaan sudah melampaui batas sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hilang sabar.

“Zaman beliau (Mahathir) sudah berlalu, duduk diamlah-diamlah. Duduklah berzikir. Beliau buka aib pemimpin sekarang, jangan lupa kita juga pernah tutup aib beliau. Jangan sampai kita pula buka aib dan pekung beliau. Macam-macam kita boleh buka,”katanya.

Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Bagan Datuk di Wisma Umno Bagan Datuk, Hutan Melintang hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mutakhir ini kerap menyerang kepimpinan Najib khususnya bersabit dakwaan skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun di sebalik keghairahannya mengkritik isu 1MDB, Dr Mahathir dalam masa yang sama dikaitkan dengan skandal Bumiputera Malaysian Finance (BMF) dan Forex yang mengakibatkan kerugian wang yang besar, ketika era pemerintahannya.

Kabinet baru-baru bersetuju sebulat suara dengan syor (Pasukan Petugas Khas) STF bahawa terdapat keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian dalam urus niaga matawang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1980-an dan 1990-an.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini