Dua maut dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan

0
58

Johoor Bahru – Niat sekumpulan penunggang motosikal untuk membantu mangsa kemalangan berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dirempuh sebuah kereta lain dalam kejadian di Kilometer 10 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam menghala ke Skudai, di sini, awal pagi tadi.

Dua penunggang yang maut dikenali sebagai S Logess, 29 dan R Surendran, manakala tiga yang lain cedera parah dan masih belum dikenal pasti identiti mereka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata ketika nahas jam 4.15 pagi itu, sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti di lorong kanan untuk memberi pertolongan kepada mangsa kemalangan sebelum itu, dirempuh sebuah Proton Persona.

“Dalam kejadian ini, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, sejurus pelanggaran, kereta Proton Persona itu terbabas ke kiri jalan dan berlanggar dengan sebuah lagi kereta di kiri jalan tetapi pemandu kereta itu hanya mengalami cedera ringan.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati sistem jalan adalah sehala tiga lorong menghala ke arah Skudai dan kemalangan berlaku di lorong paling kanan jalan, cuaca hujan, manakala kawasan kemalangan gelap berlampu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan suspek akan ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini