Pemimpin PPBM menangis terbaca kenyataan timbalan menteri

0
202

Kuala Lumpur – Seorang pemimpin PPBM “antara menangis dan tertawa” membaca kenyataan Timbalan Menteri Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menyifatkan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) “memalukan” kerana bertindak melalui “maklumat yang tidak tepat dan tidak sah”.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Tariq Ismail berkata Aziz menuduh DoJ bertindak semberono berdasarkan aduan awam dan maklumat serta dokumen yang disebarkan media, dan memalukan kerana tidak memanggil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memberi keterangan.

“Terus-terang saya mengaku saya menangis kerana kenyataan ini dibuat seorang timbalan menteri yang sepatutnya berhemah dan diplomatik terutama sekali apabila mengulas tentang urusan negara luar.

“Lebih-lebih lagi, saya menangis kerana ini sahaja tahap intelek seorang timbalan menteri.

“Saya tertawa kerana jelas sekali kenyataan ini dibuat tanpa usul periksa dan pengetahuan langsung tentang proses penyiasatan berkait undang-undang kleptokrasi di Amerika Syarikat dan kaitannya dengan kesalahan pengubahan wang haram.

“Saya tertawa lebih-lebih lagi kerana Datuk Aziz tidak dapat membezakan antara tuduhan mencuri dan tuduhan mengubah wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tariq menjelaskan 1MDB tidak perlu dipanggil memberi keterangan sekarang kerana wang disalur ke AS dari negara lain yang berurusan dengan badan dan individu yang terlibat dengan 1MDB. Oleh kerana Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak terlibat secara langsung dalam transaksi itu, maka beliau tidak dipanggil memberi keterangan, katanya

“Tindakan ini sahaja menunjukkan bahawa bukti yang digunakan dalam penyiasatan ini terbatas kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan di AS sahaja,” kata Tariq.

“Oleh kerana hampir semua penyaluran mata wang asing di dunia melalui institusi di AS, DOJ punya akses kepada hampir semua rekod transaksi 1MDB di luar negara. Sudah tentunya rekod-rekod ini lebih meluas dari rekod-rekod yang diterbitkan oleh Sarawak Report.”

Tariq menambah DoJ bertindak selepas transaksi demi transaksi dijalankan, dan sumber disahkan pihak berkuasa negeri lain seperti Singapura dan Switzerland sebagai hasil dari aktiviti berunsur jenayah.

“Berdasarkan hasil siasatan mereka ke atas bank-bank mereka yang terdahulu menyalurkan wang tersebut ke AS, tentunya tindakan awal perlu diambil agar wang tersebut tidak terus lesap sementara siasatan terperinci dijalankan,” katanya.

“Sepatutnya, yang perlu malu ialah pihak Kerajaan Malaysia kerana enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara luar seperti Switzerland yang sedang menjalankan siasatan pengubahan wang haram ke atas sumber kewangan yang disalurkan daripada 1MDB.”

DoJ melalui tindakan terbaru difailkan di California pada 16 Jun lalu mahu menyita aset berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk karya seni, barang kemas dan hak 2 filem yang dibeli dengan dana didakwa diseleweng daripada 1MDB.

DoJ menerusi saman sivil pertama yang difailkan pada Julai 2016 mahu merampas semua aset didakwa dibeli dengan dana 1MDB, termasuk Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, karya seni serta hasil kutipan daripada filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Keseluruhan nilai aset yang cuba didapatkan DoJ meningkat kepada AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dengan tuntutan terbaru itu.

Pada 27 Jun lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan tindakan DoJ bersifat politik kerana ia tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan mereka.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini