Mengubah belia bermasalah menerusi Muay Thai

0
21

Kuala Lumpur – Imran Harith menggalas tugas yang besar apabila beliau mengambil kalangan belia dengan masalah yang sukar diselesaikan dan membantu mengubah mereka menjadi orang yang gagah serta berwibawa menerusi Muay Thai.

Bagaimanapun, sejak memulakan program Discover Muay Thai pada 2014 bersama seorang rakan, pemuda berusia 27 tahun ini berusaha keras dengan matlamat tunggal – meninggalkan kesan yang amat bermakna ke atas diri orang lain.

Tiga tahun kemudian, program ini berjaya melahirkan beberapa atlet Muay Thai profesional seperti Chen Wee yang kini semakin menyinar dalam arena itu selain Faizal Ramli, pernah muncul dalam The Challenger Muay Thai, sebuah program realiti menampilkan 16 petinju dari seluruh dunia, untuk bersaing dalam Kejohanan Muay Thai Dunia.

“Matlamat saya adalah membantu kanak-kanak kurang bernasib baik ini dan kalangan remaja yang telah dibuang sekolah. Saya mahu mereka tahu bahawa dunia belum kiamat,” katanya kepada Bernama.

Projek itu bermula dengan lapan pelajar dan mereka dipilih dari seluruh Malaysia meliputi tempoh empat bulan. Jumlah itu tidak begitu banyak namun ia permulaaan yang sangat baik bagi Imran dan pasukannya.

Mereka bukan sahaja dilatih supaya mahir dalam Muay Thai dan kecergasan fizikal, tetapi turut diajar tentang literasi kewangan selain bahasa Inggeris.

Kini, lima daripada 16 pelatih itu menjadi jurulatih Muay Thai bertauliah, dua orang di peringkat antarabangsa dan sebahagian besar daripada mereka boleh menjana pendapatan sendiri melebihi RM2,000.

“Seorang daripada pelajar kami, Shahmi dari Kayu Ara Selangor adalah anak tungggal. Dia dibuang sekolah tiga kali disebabkan masalah disiplin, namun sekarang dialah yang mencari nafkah bagi keluarganya dengan menjadi jurulatih bertauliah dan bekerja di pusat kecergasan selebriti,” kata Imran.

Imran, yang mengasaskan program itu, berkata selepas melawat sebuah kampung bernama Chalong di Thailand, beliau mendapat inspirasi untuk mengadakan projek yang serupa di sini.

“Saya ke sama pada awal 2014 untuk berlatih dan menemani seorang kawan dalam satu pertandingan. Sebaik tiba di lapangan terbang, saya disambut beberapa kanak-kanak dan saya tertanya-tanya siapa mereka ini kerana mereka sungguh berdisiplin,” katanya.

Sebaik tiba di kampung itu di Chalong, Imran kemudian bertemu dengan ketua kampung, yang memberitahunya bahawa kanak-kanak lelaki itu adalah mangsa kes seperti penyeludupan manusia dan penderaan seksual.

“Kanak-kanak itu diajar makna sebenar tentang hormat, sanjungan dan disiplin. Melihat bagaimana kanak-kanak ini bangkit semula selepas melalui masa silam yang gelap, saya ambil keputusan untuk buat benda yang sama di sini. Saya mahu menyumbang ke arah membawa perubahan yang baik kepada masyarakat selain meninggalkan kesan kepada diri orang lain,” katanya.

Program itu diadakan dengan kerjasama Dragon Muay Thai di Jalan Alor, Bukit Bintang dan geran untuk memulakan program itu disalurkan oleh MyHarapan.

“Di gim, mereka bukan sahaja dilatih menjadi atlet bertaraf dunia tetapi juga tinggal dan bekerja di sana, tempat mereka belajar memasak, mendampingi masyarakat dan kami harap mereka akan berubah menjadi insan yang lebih baik. Setakat ini, syukurlah kami telah berjaya,” katanya.

Selain itu, Dragon Muay Thai, 1M4U Muay Thai Gym juga menggunakan khidmat pelajar itu di bawah Discovery Muay Thai untuk mengendalikan operasi keseluruhan, dan ketika ini bekerjasama dengan sebuah universiti swasta untuk mengadakan kelas setiap Isnin, Rabu dan Sabtu.

“Mereka yang mahu melihat aksi kami boleh menonton menerusi Youtube di samping saluran Instagram, Discover MuayThai. Saya harap, banyak pihak lain akan mendapat inspirasi untuk membantu kanak-kanak ini memandang mereka berhak diberi peluang kedua,” kata Imran.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini