Syarikat minyak baharu Sarawak mula operasi 6 bulan lagi

0
33

Kuching – Syarikat cari gali minyak dan gas luar pantai milik Sarawak akan memulakan operasinya dalam masa 6 bulan lagi, kata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg.

Kerajaan kini dalam proses menubuhkan syarikat berkenaan, Petroleum Sarawak (Petros), 100% milik kerajaan negeri, yang akan bekerjasama dengan syarikat minyak nasional, Petronas, katanya.

Menurut beliau, perkara berkaitan pelaburan awal syarikat itu masih dibincang.

Abang Johari berkata, sebelum ini, syarikat minyak dan gas dari Sarawak hanya terlibat dengan aktiviti minyak dan gas hiliran di Bintulu, dengan pelaburan dianggar berjumlah AS$2 bilion.

Petros, katanya, akan terlibat dalam aktiviti huluan cari gali minyak dan gas serta pengeluaran gas dan minyak di kawasan perairan Sarawak.

Beliau berkata syarikat itu akan menggunakan tenaga profesional daripada kalangan anak Sarawak yang sudah terlibat dalam industri berkenaan, termasuk mereka yang kini bekerja dengan Petronas, Shell dan Murphy Oil.

“Kami ada anak Sarawak yang terdiri daripada jurutera dalam bidang ini dan ini akan memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk bekerja dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan holistik dan akan bekerjasama dengan Petronas untuk mencari gali serta mengeluarkan minyak dan gas di perairan Sarawak.

“Tiada gunanya menyalahkan orang lain. Kami perlu gerakkan inisiatif sendiri dan mempersiapkan diri kami untuk terlibat dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata keuntungan yang diraih akan dikongsi antara kerajaan negeri dan Petronas berdasarkan ekuiti.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini