Rakyat Malaysia bazirkan lebih 4 bilion liter air sehari

0
12

Putrajaya – Lebih empat bilion liter air terawat, iaitu jumlah yang boleh menampung keperluan air di seluruh kawasan Lembah Kelang sehari, telah dibazirkan di negara ini setiap hari.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Zaini Ujang berkata, kewujudan air tidak berhasil (NRW) tersebut antaranya berpunca daripada faktor paip yang rosak, hilang fungsi, bocor dan dicuri.

Jelasnya, jumlah itu menjadikan kadar NRW keseluruhan negara berada pada 35 peratus dengan Sabah, Sarawak, Kedah, Perlis, Pahang dan Kelantan mencatatkan kadar yang amat tinggi.

“Meter air yang kita gunakan hanya (berfungsi) baik dalam 10 tahun sahaja dan lebih daripada itu, ia tidak lagi sensitif. Jika ada perubahan dari segi penggunaan air, ia tidak dapat dikesan dengan sebaiknya.

“Kalau kita tukar meter air, kita boleh mendapatkan semula 20 peratus air terawat yang dibazirkan itu. Tetapi isunya, pengguna enggan tukar meter kerana kalau tukar meter, bil air akan naik sebab ia lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata demi­kian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemeterai­an kerjasama latihan dalam bidang pengurusan air antara Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Jabatan Bekalan Air (JBA) dan TSS Tokyo Water Co. Ltd. di sini hari ini.

Yang turut hadir, Kaunselor Kedutaan Jepun di Malaysia, Kazushi Izuchi; Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pengurusan) kementerian. Datuk Dr. Tan Yew Chong dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd. Ridhuan Ismail.

Kerjasama antara kementerian dan JICA itu melibatkan penghantar­an tiga pakar dari Jepun untuk mela­tih sebanyak 55 peserta dari Malaysia dalam bidang NRW di Labuan bermula Ogos ini hingga Mac 2020.

Kata Zaini, langkah kerjasama baharu itu penting terutama bagi memastikan sasaran 25 peratus tahap NRW oleh kementerian dapat dicapai menjelang 2020.

Katanya, Jepun mempunyai teknologi, kepakaran serta pengaplikasian sistem yang sangat baik berkaitan NRW dan sebagai contoh, di Tokyo terdapat sebanyak 13 juta pengguna air namun kadar NRW kawasan itu hanya tiga peratus.

“Sehubungan itu, kita kena fikir tentang sistem kita supaya lebih produktif. Sistem yang kita ada kini tidak menggalakkan orang untuk membantu kita untuk lebih efisien.

“Banyak negara dunia kini automatik, selepas lapan tahun dia tukar terus meter. Mungkin kita boleh ambil pendekatan itu bagi memastikan meter itu lebih berkesan,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini