Belajar baca al-Quran melalui telefon

0
24

Kuala Lumpur – “Mommy, you don’t know how to mengaji?” Soalan terbabit bukan saja menjentik Mazlita Mat Hassan, 42, untuk berhijrah, malah ia menjadi titik permulaan dalam penghasilan sebuah aplikasi mengaji secara dalam talian.

Aplikasi Recite yang dilancarkan Januari lalu itu membolehkan bacaan ayat suci al-Quran pengguna telefon pintar disemak ustaz dan ustazah bertauliah secara dalam talian.

Ia direka untuk meningkatkan pemahaman Tajwid, malah aplikasi terbabit dimuat turun 22,000 pengguna seluruh Malaysia.

Menceritakan kisah di sebalik pembangunan aplikasi terbabit Mazlita berkata, ia ditubuhkan bersama rakan kongsinya Ahmad Fairiz Jaafar, 42, pada April 2016.

Menurutnya, idea mencipta aplikasi itu tercetus apabila dia menetap dan bekerja di London selama 11 tahun sejak 1995.

“Saya mulai bimbang apabila anak sulung perempuan yang ketika itu berusia enam tahun masih tidak pandai mengaji dan solat.

“Apabila kami pulang ke Malaysia, saya berdepan masalah mencari ustaz mengajar di rumah. Namun apabila jumpa, saya pula malu mengaji bersama anak kerana tidak yakin dengan tahap bacaan saya. Malah, ia berlarutan sehingga dua tahun,” katanya.

Menurutnya, krisis dialami bertambah serius apabila anak sulungnya mula bertanya sama ada dia tahu mengaji ataupun tidak.

“Saya ada cuba mengaji menggunakan al-Quran digital, namun tidak berpuas hati kerana tiada guru yang mampu menegur dan membetulkan bacaan. Disebabkan itulah tercetus idea menghasilkan aplikasi Recite,” katanya.

Menurutnya, dia berjumpa rakan baik Fairiz yang kebetulan seorang pembangun aplikasi.

“Selepas setahun berbincang dan melemparkan idea bernas, aplikasi Recite versi beta akhirnya dilancarkan di Android Play Store pada Ogos 2016 dan secara rasmi pada Januari 2017,” katanya yang berkelulusan Sains Komputer dari Universiti College London.

Mazlita berkata, aplikasi Recite menyerupai kaedah dipraktikkan Uber dan membezakannya adalah ia menghubungkan antara pengguna dan ustaz serta ustazah bertauliah.

“Pengguna hanya perlu pilih surah yang ingin dibaca, tekan butang rekod dan hantar bacaan mereka. Semua ustaz dan ustazah di platform kami menerima notifikasi setiap kali bacaan dihantar.

“Seorang daripada guru ini mendengar bacaan, semak dan hantar semakan mereka kepada pengguna itu semula. Semakan dilakukan dalam bentuk teks dan rakaman suara,” katanya.

Menurutnya, semua ustaz dan ustazah mempunyai sijil pertauliahan al-Quran daripada agensi berkaitan seperti Darul Quran dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Aplikasi Recite boleh dimuat turun pengguna Android di Play Store manakala versi iOS untuk pengguna iPhone akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini