Peniaga dakwa tersiksa kerana ilmu hitam (Video)

0
1707

Kuala Lumpur – Seorang peniaga kedai makan melahirkan rasa kecewa dengan sikap orang Melayu yang penuh dengan hasad dengki apabila melihat orang lain berjaya.

Menurut Alissa Ibrahim, 37 ketika ditemui MassaTV, sepanjang sepuluh tahun mengusahakan kedai makan dirinya sering menerima pelbagai ujian khususnya yang melibatkan ilmu hitam ekoran sikap tersebut.

“Pernah terjadi selepas 5 bulan berniaga di kedai ini, ada pelanggan yang datang (namun) sejurus selepas duduk anaknya(tiba-tiba) menjerit dan menangis sambil mendakwa melihat ‘benda’ lalu mengajak keluarganya untuk balik.

“Sampaikan saya pelik sebab selalu sangat kena, (pernah satu ketika) saya dan suami kena (dianiaya) dengan santau angin, makanan yang baharu dimasak tiba-tiba basi, terpaksa masak nasi selama tiga jam kerana beras tak masak.

“Pernah terjadi lepas masak nasi semua masak tapi ditengah masih ada beras, pernah masakan yang baharu saya masak tiba-tiba ada ulat sampah, persoalannya dari mana datang ulat tersebut sedangkan bahan-bahan yang saya gunakan masih segar” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Alissa turut menjelaskan disebabkan gangguan makhluk halus itu juga dia pernah hampir maut kerana ‘dimandikan’ minyak masak yang panas mengelegak.

“Paling ngeri pada tahun 2013 saya (hampir maut) kerana dimandikan dengan minyak panas yang sedang mengelegak ketika sedang menyediakan juadah sarapan pada jam 6.30 pagi.

“Ketika kejadian hanya saya seorang tapi (tiba-tiba) saya merasa seperti ditolak ‘sesuatu’ menyebabkan saya hampir terlentang dan minyak panas tersebut jatuh tepat ke muka sehingga saya mengelupur.

“Bahagian muka sebelah kiri melecur, telinga saya hampir koyak, separuh badan hingga ke peha luka cedera teruk menyebabkan hampir sebulan saya terlantar di rumah,” katanya ketika menceritakan kembali detik cemas itu.

Peniaga yang berasal dari Kedah itu berkata sering bertanya mengapakah dia diduga seperti ini sedangkan niatnya hanya ingin membantu masyarakat dengan menjual juadah makanan dengan harga yang berpatutan.

“Walaupun ada niat untuk berhenti (namun) minat saya terhadap masakan terlalu mendalam malah suami juga pernah melarang saya agar tidak lagi meneruskan hasrat membuka kedai makan ini.

“Kebanyakan mereka yang suka hasad dengki ini adalah dari kaum Melayu, apa salahnya kita sama-sama saling berjuang kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri,” katanya lagi.

Alissa turut mengharapkan agar mereka yang memusuhinya itu untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan serta menghentikan perbuatan yang syirik seperti itu.

“(Kepada) orang yang melakukan hasad dengki terhadap saya dan suami saya sehingga nyawa suami saya hampir melayang (disebabkan santau) saya berdoa agar kamu semua insaf.

“Ya Allah berikanlah hidayah kepada orang yang menganiaya saya dan suami saya (kerana) aku tidak menganiaya mereka, bukakanlah hati mereka (untuk bertaubat) sehingga ibuku sakit sehingga ke hari ini.

“Ya Allah kepada Mu aku bermohon (agar) ditunjukkan kepada mereka jalan yang benar,” ujarnya ketika berdooa sambil menitiskan air mata. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini