SPRM siasat sistem radar ‘lesap’ di Tanjung Pelepas

0
109

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar pasukan penyiasat ke Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor berhubung dakwaan ‘kehilangan’ sebuah kontena yang dikatakan mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi di pelabuhan itu baru-baru ini.

SPRM dalam satu kenyataan media berkata pegawai penyiasatnya akan mendapatkan maklumat berhubung perkara itu sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut SPRM, pasukan penyiasat akan menilai maklumat-maklumat yang diperolehi untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.

“SPRM juga telah menerima aduan berhubung perkara itu dan akan mengambil keterangan daripada beberapa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.

“Selain itu, SPRM juga akan bekerjasama dengan pihak polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan radar itu,” kata SPRM.

SPRM berkata siasatannya hanya akan tertumpu kepada sama ada wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa dan tidak akan campur tangan dalam siasatan oleh polis.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan kontena yang tiba dari Australia membawa peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit hilang ketika transit di pelabuhan berkenaan.

Laporan akhbar itu yang memetik sumber berkata, barang terbabit sepatutnya di hantar ke Belanda melalui pelabuhan itu, namun, ia tidak mempunyai permit yang diperlukan, menyebabkan barangan itu ditahan.

Menurut laporan akhbar itu, semua peralatan ketenteraan yang dibawa masuk dan keluar dari mana-mana pelabuhan di negara ini memerlukan permit khas daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini