Pekasa desak haramkan Starbucks, Microsoft

0
51

Kuala Lumpur – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menggesa kerajaan membatalkan lesen operasi Starbucks dan Microsoft di Malaysia, dengan alasan kedua-dua syarikat itu tidak membantah perkahwinan sejenis.

“Perkasa juga menggesa kerajaan agar menilai semula lesen perniagaan yang diberikan syarikat-syarikat yang mempromosi perkahwinan sejenis dan LGBT dan kerajaan perlu membatalkan lesen operasi Starbucks dan syarikat-syarikat lain seperti Microsoft kerana sokongan mereka kepada perkahwinan sejenis dan komuniti LGBT tidak selari bahkan bertentangan dengan aspirasi negara dan agenda nasional,” kata jurucakap Perkasa, Amini Amir Abdullah.

Kenyataan itu selepas komen berlegar di media sosial memetik Pengerusi Starbucks Howard Schultz sebagai menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Schultz didatangi seorang pemegang saham Starbucks yang mengadu polisi syarikat untuk tidak mendiskriminasi golongan LGBT menyebabkan syarikat itu kerugian.

Bagaimanapun, Schultz menjawab: “Kalau anda merasakan boleh mengaut pulangan yang melebihi keuntungan 38% anda tahun lepas, ini negara bebas. Anda boleh jual saham dalam Starbucks dan beli saham di syarikat lain,” katanya dipetik majalah Forbes 4 tahun lalu.

Perkasa berkata umat Islam di Malaysia perlu memulau Starbucks kerana ia pendiriannya mengenai LGBT “bukan sahaja bertentangan dengan Islam bahkan berkhilaf dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga Rukunegara”.

“Perkasa juga memberi amaran keras kepada pengamal, penyokong dan pendokong amalan LGBT dalam negara ini agar segera bertaubat meninggalkan amalan terkutuk ini dan kembali ke pangkal jalan yang sebenar,” katanya.

Seruan sama turut dibuat oleh pertubuhan Muhammadiyah di Indonesia, lapor Reuters.

“Tidak mengapa jika Starbucks hanya mahu menjalankan perniagaan, tetapi jangan bawa ideologi ke sini,” kata jurucakapnya Anwar Abbas.

Perhubungan sejenis bukan merupakan kesalahan di bawah undang-undang Indonesia, tetapi beberapa siri serbuan ke atas golongan itu baru-baru ini menimbulkan tanda tanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini