Asri bantah doktor pelatih tak fasih bahasa Melayu

0
64

Kuala Lumpur – Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mempertikaikan keputusan memberikan kelonggaran syarat kelayakan Bahasa Melayu (BM) untuk pelantikan jawatan doktor pelatih kerajaan, dengan menganggapnya satu bentuk ancaman terhadap identiti negara.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Asri mengaitkannya dengan ahli politik, dengan berkata golongan yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun membesar di Malaysia perlu ditolak pada pilihan raya akan datang.

“Kelompok yang seperti ini sepatutnya tidak diberikan ruang dalam politik negara ini. Mereka ini akan menghilangkan identiti negara kita. Menjelang pilihan raya ini pastikan calon yang bakal dihantar ke DUN dan Parlimen kita dapat bertutur dengan baik dalam bahasa rasmi Malaysia,” katanya dalam muat naik di Facebook.

Asri turut memuat naik respons beberapa ahli akademik di akhbar Utusan Malaysia yang mempersoalkan keputusan Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat kelulusan subjek BM di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keputusan itu mengecualikan pegawai perubatan gred UD41 daripada menduduki subjek itu, dan merangkumi graduan luar negara dan mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa, yang sebelum ini dilarang menjalani latihan khidmat doktor 2 tahun di hospital kerajaan.

“Sekiranya seorang graduan perubatan tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan tersebut tidak dibenarkan sama sekali menjadi doktor perubatan di Malaysia. KKM prihatin ini tentu akan menjejaskan masa depan mereka setelah berusaha sedaya upaya menjalani jurusan perubatan di universiti,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

Menurut Asri, Malaysia “adalah Tanah Melayu maka Bahasa Melayu antara identitinya”.

“Kalau di peringkat pendidikan bagaimana mungkin seorang terpelajar di Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu?” soalnya.

“Jika ada orang yang gagal menguasai bahasa negaranya sendiri maka tanpa syak itu suatu kecacatan. Dukacita bila ada orang Melayu yang bangga tidak fasih berbahasa Melayu. Lebih pelik lagi menganggap itu suatu kelebihan. Itu sebenarnya adalah satu kedangkalan dan kecacatan diri!”

Menurutnya, warga Bangladesh yang baru beberapa bulan di Malaysia pun sudah boleh bertutur Bahasa Melayu.

“Patutkah ada orang Malaysia yang hidup membesar di sini tetapi tidak fasih bahasa Melayu?”

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini