‘Macam mana kami nak berniaga?’

0
40

Ampang: “Macam mana kami nak teruskan perniagaan kerana tiada pelanggan yang mahu singgah disebabkan tiada air,” kata Zulaika Abdullah, semalam.

Wanita berkenaan antara peniaga yang menjalankan perniagaan salun rambut di sebuah pusat beli-belah di Taman Dagang yang terjejas akibat bekalan air dipotong oleh pihak pengurusan pusat beli-belah itu.

Zulaika, 43, berkata, hampir semua peniaga yang rata-ratanya Bumiputera mengeluh dengan masalah ketiadaan bekalan air yang menimpa mereka sejak 16 Jun lalu.

“Kebanyakan peniaga sangat bergantung dengan keperluan air apatah lagi mereka menjalankan perniagaan salun rambut dan pusat rawatan kecantikan.

“Akibat ketiadaan air, kebanyakan pelanggan tetap terpaksa membatalkan temu janji sekali gus membuatkan kami kehilangan mata pencarian sejak sebelum sambutan Aidilfitri.

“Masalah berkenaan turut menyebabkan sesetengah peniaga terpaksa menutup kedai kerana ketiadaan pelanggan sehingga masalah bekalan air dapat diatasi.

Tinjauan mendapati peniaga terpaksa berulang alik mengangkat air dari kedai berdekatan dan ada yang membeli tong minuman air sebagai persediaan untuk kegunaan pelanggan.

Disebabkan ketiadaan air juga, sekitar tandas awam berbau busuk dan tidak dapat diselenggara dengan baik.

Norlita Hussin yang menjalankan perniagaan bersama ibunya berkata, ketiadaan bekalan air berpunca daripada tunggakan elektrik pihak pengurusan yang berjumlah hampir RM2.5 juta.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil keputusan memotong bekalan elektrik ke pusat beli-belah ini kerana tunggakan sekali gus menyebabkan bekalan air ke premis perniagaan terputus.

“Pihak pengurusan yang tidak melangsaikan bil elektrik menimbulkan masalah besar kepada peniaga sekali gus menutup periuk nasi kami,” katanya.

Katanya, dia turut membuat aduan di atas sikap tidak profesional pihak pengurusan ke balai polis berdekatan, selain pihak TNB dan bank yang dikaitkan dalam masalah ini namun masih tiada tindakan.

Kata Norlita, pihak pengurusan menutup bekalan air tanpa notis dan semalam mereka menerima notis untuk membuat ‘bayaran kecemasan’ kepada pihak pengurusan bagi melangsaikan hutang bil elektrik.

Menurut notis berkenaan, peniaga tidak lagi perlu membayar sewa bulanan kepada pemilik premis sebaliknya dibayar terus kepada pihak pengurusan.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini