Jangan perkecil libasan Bujang Senang kata Piya

0
22

Kota Bharu – Kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi atau Piya menyifatkan pertembungan Kelantan dan Sarawak malam ini dijangka menarik berikutan kedua-dua pasukan perlu menang bagi mencari suntikan semangat untuk mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Tambahan pula, Kelantan juga mahu menang buat kali kedua di Stadium Sultan Muhammad ke IV selepas hanya sekali berjaya melakukannya pada saingan pertama Liga Super, Mac lalu.

Bagi Piya, semua pemain begitu bersemangat untuk berdepan skuad Bujang Senang yang kini dibarisi beberapa muka baru termasuk import barunya, Sahil Suhaimi.

Untuk itu, Piya menggesa rakan sepasukan supaya lebih komited dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perlawanan itu bagi mengelakkan mereka ‘dibedal’ pasukan Sarawak.

Piya berkata, kemampuan Sarawak tidak boleh diperkecilkan kerana kali terakhir Kelantan bertemu Sarawak pada 26 April lalu menyaksikan pasukan tuan rumah lebih kerap menguasai perlawanan sebelum seri 0-0.

Katanya, bagi memastikan Kelantan tidak ‘berputih mata’ di laman sendiri, rakan sepasukan digesa mematuhi setiap arahan jurulatih, bermain sebagai satu pasukan serta mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

“Faktor rehat panjang sedikit sebanyak mungkin merencatkan stamina pemain namun itu bukan alasan untuk kami tunduk kepada telunjuk Sarawak.

“Kami selaku pemain tempatan tidak akan patah semangat untuk memburu tiga mata sekalipun status pemain import Kelantan, Seydi L Imam masih belum diketahui nasibnya,” katanya.

Kelantan kini di tangga kelima dengan 17 mata selepas pemotongan mata terhadap pasukan itu oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dikurangkan daripada enam kepada tiga mata.

Manakala, Sarawak yang dibimbing David Usop pula dalam kelompok tiga pasukan terbawah Liga Super dengan 11 mata bersama Melaka dan Pulau Pinang dan perlu menang untuk keluar dari zon penyingkiran.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) merangkap pengurus Alfredo Gonzales pula berkata, persiapan Kelantan di sepanjang Ramadan lalu sedikit terjejas selepas ketiadaan tempat latihan sesuai.

Katanya, dua perlawanan persahabatan tidak mencukupi untuk pemain mengekalkan tahap konsisten masing-masing.

“Walaupun bakal mengharungi jadual padat dengan sembilan perlawanan bulan ini, kami tiada pilihan lain kecuali berusaha memburu kemenangan kerana ia membabitkan soal maruah pasukan.

“Untuk itu, kami akan membentuk kesebelasan terbaik bertemu Sarawak dengan menurunkan ketiga-tiga import termasuk Abou Bakr atau Bako sekalipun pemain Lubnan itu masih belum menemui corak permainan sebenar.

“Kami optimis, pasukan mampu melakar kemenangan, esok (malam ini) dan berharap penyokong hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini