Gurauan ‘khutbah terakhir’, imam muda maut kemalangan

0
45

Baling – Gurauan seorang imam muda mahu membaca khutbah Aidilfitri buat kali terakhir tahun ini menjadi kenyataan apabila dia maut dalam kemalangan.

Muhammad Amin Abdul Wahab, 22, dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Baling — Weng dekat Kampung Jenalik Bawah Gunung, 2.30 petang kelmarin.

Pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) Bongor Baru berkata mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) itu dilihat berubah ‘tiba-tiba’ menjadi pendiam.

“Arwah sempat bergurau khutbah solat Aidilfitri tahun ini yang terakhir. Tahun depan orang lain membacanya pula.

“Tak sangka gurauannya mengenai khutbah terakhir itu petanda dia pergi untuk selamanya,” kata Noorazmi Ramli seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, pemuda dari Kampung Banggol Derum itu menjadi idola anak muda di situ kerana berakhlak tinggi dan sering menyampaikan tazkirah.

Siswa tahun tiga jurusan syariah itu turut menjadi imam solat terawih dan menyampaikan khutbah Aidilfitri sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Baling Supt Shariffuddin Yusof berkata motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lalu terjatuh sebelum dirempuh kenderaan lain dari arah bertentangan.

Mangsa yang parah di muka dan badan dihantar ke Hospital Baling namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini