FELCRA FC pecat Yusri Che lah

0
67

Kuala Lumpur – Bimbang sasaran untuk layak ke Liga Perdana musim depan terlepas dari genggaman, kelab FELCRA FC melakukan perubahan drastik apabila mengambil khidmat pengendali baru Rosle Mohamad Derus sekali gus memecat Yusri Che Lah (gambar) daripada mengendalikan pasukan Liga FAM itu.

Ia disahkan Timbalan Presiden FELCRA FC Datuk Hazian Murad ketika kelab itu kini menghuni tangga keempat Kumpulan A dan sekiranya kedudukan berkenaan kekal hingga penghujung Julai, mereka berpeluang untuk beraksi di suku akhir Liga FAM dengan wajib mara ke pentas final saingan divisyen tiga itu.

“Kita terpaksa melakukan rombakan demi kebaikan pasukan yang kini pada laluan terbaik untuk layak ke Liga Perdana musim depan.

“Saya harap dengan kehadiran bekas pemain Olimpik tahun 2000 itu sebagai jurulatih baru kita, persembahan pasukan juga akan berubah selepas ini untuk memburu slot ke liga atasan,” katanya kepada Arena Metro.

Rosle sebelum ini adalah penolong jurulatih kepada Yusri Che Lah, namun mula memikul tugasan selaku pemangku jurulatih dalam perlawanan keenam pasukan.

Sejak di bawah kendalian Rosle, FELCRA kini perlahan-lahan mula mendaki carta Kumpulan A Liga FAM dan hanya tewas sekali dalam enam perlawanan terakhir.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan kerana meletakkan kepercayaan kepada saya. Saya menganggap ini sebagai batu loncatan dan cuba terus memberikan yang terbaik buat pasukan,” kata Rosle.

Dalam masa sama, kelab berkenaan turut melantik bekas jurulatih penjaga gol skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Megat Amir Faisal sebagai jurulatih penjaga gol pasukan bagi menggantikan Azmin Azram Abdul Aziz yang kini bersama barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya bersama Nelo Vingada.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini