Didakwa hina loghat utara, ‘Mak Cun’ minta maaf

0
32

PELAKON drama bersiri popular Mak Cun, Erma Fatima memohon maaf selepas program Raya Sakan Mak Cun yang ditayangkan 24 Jun lalu dikecam netizen kerana dikatakan mempermainkan loghat utara apabila dia bersama pelakon drama itu tidak bertutur dialek itu dengan betul.

Erma yang dihubungi di Milan, Itali berkata, mereka sudah memberikan yang terbaik untuk menjayakan program yang ditayangkan secara langsung dan dia sedar mereka tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

Menurut Erma, semua pelakon yang terbabit bukanlah berasal dari utara tanah air.

“Saya memohon maaf sekiranya ada pihak yang tidak senang dengan loghat utara yang kami gunakan sepanjang program itu.

“Kami bukan berasal dari Kedah, Pulau Pinang atau Perlis. Kalau nak dalami sesuatu dialek negeri yang bukan tempat kelahiran kita, prosesnya memakan masa yang sangat lama,” katanya.

Dalam program yang turut menampilkan pelakon drama seperti Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Balkisy Samundur Khan dan Haidar, netizen yang kebanyakannya berasal dari Kedah mendakwa loghat utara yang ditutur mereka nampak terlalu dibuat-buat.

Malah, ada juga yang mendakwa mereka seperti menghina loghat utara.

Selain itu, ada juga yang membandingkan Erma dengan pelakon yang berasal dari Kedah iaitu Farid Kamil.

“Janganlah dibandingkan saya dengan Farid kerana dia memang berasal dari Kedah,” katanya.

Erma berkata, dia terkilan dengan sikap sesetengah netizen yang ingin menegur tetapi menggunakan bahasa kasar.

“Orang Melayu ada budi bahasanya. Kalau ada yang salah, kita boleh tegur dan ajar tetapi bukanlah dengan kata-kata kesat dan gaya seperti gangster.

“Apabila salah sikit saja, hendak ditampar dan dipukul. Inilah yang membuatkan ramai generasi baru kita membesar menjadi pembuli,” katanya.

Bagaimanapun, Erma mengucapkan terima kasih kepada penonton yang menonton program itu.

“Walaupun mengecam program itu, tetapi mereka tetap menontonnya dan itu lebih penting. Bukan senang nak buat orang menonton sesuatu program dari awal hingga akhir, tidak kiralah dalam keadaan benci atau suka,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini