Gagal daftar hari ini, Imigresen tangkap Pati esok

0
52

Putrajaya – Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali meluahkan rasa kecewa apabila hanya 25 peratus daripada sasaran 600,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) tampil untuk membuat permohonan “Enforcement Card” atau E-Kad.

Beliau berkata sehingga 7.50 malam tadi, seramai 154,328 Pati melibatkan 26,738 majikan telah membuat permohonan dan sebanyak 138,970 E-Kad telah dikeluarkan.

“Esok (Jumaat) adalah hari terakhir permohonan E-Kad dan jumlah ini adalah jauh daripada sasaran asal 600,000 Pati.

“Saya kecewa kerana majikan yang menggaji Pati tidak mengambil peluang ini untuk ‘legalise’ pekerja mereka,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan proses permohonan E-Kad di ibu pejabat Jabatan Imigresen, di sini malam tadi

Beliau sekali lagi memberi amaran tegas kepada Pati yang gagal mendaftar sehingga 12 tengah malam esok (Jumaat) bahawa Jabatan Imigresen akan membuat operasi besar-besaran bermula 1 Julai (Sabtu) untuk menahan dan mengusir mereka keluar dari negara ini.

Selain itu, Mustafar turut kecewa apabila majikan dan Pati memilih untuk tampil mendaftar pada saat-saat akhir sehingga Jabatan Imigresen terpaksa membuka kaunter sehingga pukul 3 pagi, sedangkan permohonan telah dibuka sejak Februari lepas.

“Hari ini sahaja yang datang antara 3,000 hingga 4,000 orang. Sebelum ini purata yang datang sehari hanya antara 800 hingga 1,000 orang,” katanya.

Selain itu, katanya ada individu yang melakukan provokasi terhadap pegawai Imigresen apabila terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan proses pendaftaran.

“Itu pilihan mereka sendiri untuk datang saat akhir. Kita layan juga sehingga pukul 3 pagi dan cuba memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di ibu pejabat Jabatan Imigresen, mendapati majikan dan Pati telah menunggu sejak pukul 3 pagi untuk mendaftar sebelum tempoh akhir pendaftaran esok.

Seorang majikan Anni Morani Musthafa, 47, yang tiba pada pukul 5 pagi mengakui kesilapannya hadir pada saat akhir untuk mendaftarkan tiga orang pekerjanya yang berasal dari Nepal.

Beliau yang menjalankan perkhidmatan vendor pembersihan hotel di ibu negara bagaimanapun memuji usaha Jabatan Imigresen melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 3 pagi bagi membolehkan majikan dan pekerja yang hadir pada saat akhir untuk mendaftar.

“Saya tahu mengenai permohonan ini sejak Februari lagi tetapi saya lalai sedikit sehingga lupa dan saat akhir baru datang. Jadi terpaksa beratur panjang,” katanya.

Lain pula halnya bagi seorang pengusaha kedai dobi, Vivian Lim, 42, yang baru sahaja membuat keputusan untuk mengambil seorang pekerja di kedainya.

“Memandangkan pekerja tersebut tidak mempunyai dokumen jadi dia meminta untuk membuat pendaftaran E-Kad,” katanya.

Seorang lagi majikan Zaidi Osman, 45, tiba bersama empat pekerjanya dari Negeri Sembilan pada pukul 8 pagi memandangkan beliau telah melengkapkan segala dokumen yang perlu untuk membuat permohonan E-Kad.

Menurutnya beliau hadir pada saat akhir bagi mendaftarkan pekerja dari Indonesia tersebut berikutan mereka lambat membuat keputusan untuk berbuat demikian.

“Mereka pernah ditipu oleh ejen dan duit mereka dilarikan jadi mereka takut untuk mendaftar.

“Tetapi apabila melihat rakan mereka yang lain berjaya dapat E-Kad baru mereka hendak mendaftar,” katanya.

Program E-Kad yang dikeluarkan secara percuma bertujuan mendaftarkan dan membolehkan pendatang asing tanpa izin mendapat permit kerja selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri. – Bernama

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini