Peralatan radar tentera hilang di pelabuhan Johor

0
485

Kuala Lumpur – Peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit yang perlu mendapat kelulusan khas daripada Putrajaya didapati hilang daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, menurut akhbar The Star memetik polis Johor.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Nor Hashim Mohamad mengesahkan laporan polis diterima mengenai perkara itu, manakala Penolong Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Paddy Abd Halim berkata jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut.

Kehilangan barangan itu dikesan ketika pemeriksaan audit baru-baru ini.

The Star memetik sumber kastam sebagai berkata peralatan itu tiba dalam sebuah kontena dari Australia bulan lalu, dan bakal menuju ke Belanda melalui Johor.

Bagaimanapun, ia ditahan pihak kastam disebabkan ketiadaan permit khas dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

Akta tersebut mewajibkan permit kementerian ke atas beberapa barangan “sensitif” termasuk barangan ketenteraan, bahan nuklear, kimia, toksin, di samping alat navigasi dan teknologi sensor.

Ia dipercayai bagi mengelak peralatan seperti itu daripada jatuh ke tangan pengganas atau anasir ekstremis.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini