Kanak-kanak 5 tahun meninggal dunia dipercayai didera bapa tiri

0
63

Besut – Seorang kanak-kanak lelaki dari Felda Tenang, Hulu Besut meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya awal pagi tadi.

Ekoran kejadian itu polis menahan seorang buruh lelaki berumur 38 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak berumur 5 tahun 2 bulan itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supritendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika mengesahkan kejadian itu berkata kanak-kanak itu dibawa sendiri oleh suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Besut kira-kira 3.30 pagi tadi tetapi mendapati mangsa meninggal dunia sebelum diberikan rawatan.

Katanya, semasa menghantar kanak-kanak itu mendapatkan rawatan, suspek mendakwa mangsa terjatuh dan dihempap motosikal yang dinaiki bersamanya di jalan ladang di tanah rancangan tersebut pada malam semalam.

“Bagaimanapun, doktor yang memeriksa mangsa mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada tubuh mangsa dan mengesyaki sesuatu sebelum melaporkan perkara itu kepada polis”, katanya dalam kenyataan media di sini petang ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kecederaan mangsa serta keterangan yang diperoleh daripada ibu mangsa seorang suri rumah berumur 27 tahun, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Zamri berkata mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi menjalani bedah siasat oleh pakar forensik perubatan dari Kuala Lumpur esok.

Beliau berkata bapa tiri mangsa kini ditahan dan akan direman esok.

Suspek yang bekerja sebagai buruh didapati mempunyai 3 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan kes mendera kanak-kanak.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini