Anggota wanita Pertahanan Awam mahu jadi penjinak ular

0
74

Kuala Lumpur – Nampak sahaja ular, pasti ramai mula berasa panik dan takut apatah untuk mengangkap reptilia berbisa itu jika tahu serangan haiwan itu boleh mengundang pelbagai komplikasi termasuk maut.

Lebih-lebih lagi jika haiwan itu memasuki rumah atau kawasan sekitarnya, sudah pasti kebanyakan golongan wanita akan meminta bantuan kaum lelaki, jika ada yang berani, untuk membunuh, mengangkap atau mengusir bintang itu.

Namun tidak bagi anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Diana Kasman, 24, yang selesa dengan tugasnya yang antara lain memerlukannya menangkap haiwan berbisa itu.

Graduan universiti itu, yang berkhidmat selama empat tahun di Ibu Pejabat APM, Jalan Semarak di sini, sering diminta membantu menangkap ular walaupun di luar waktu tugas.

“Ada kalanya ketika saya sedang bercuti, ada jiran datang ke rumah meminta bantuan untuk menangkap ular di rumah mereka. Saya sudah biasa menangkap ular yang masuk ke dalam rumah seperti ular sawa dan ular tedung,” kata wanita itu yang menetap di Bandar Baru Sentul di sini.

“Kebiasaannya ular masuk ke dalam rumah kerana habitat mereka terganggu menyebabkan haiwan itu berpindah habitat dan mencari tempat sejuk untuk berlindung,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang penjinak ular.

Diana menegaskan bahawa menangkap ular bukan tugas yang mudah kerana ia memerlukan teknik dan kemahiran kerana jika tersalah langkah akan mendatangkan bahaya.

“Kita perlu berada di bahagian belakang ular yang ingin ditangkap kerana jika tangkap secara berhadapan ia akan serta-merta mematuk mangsa,” katanya.

Beliau berkata sejak di universiti lagi beliau didedahkan dengan aktiviti lasak ketika menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis) dan pengalaman itu membuatkannya menjadi seorang yang berani.

“Waktu menyertai Kor Suksis saya telah didedahkan dengan pelbagai ilmu hutan dan ilmu ikhtiar hidup, sejak daripada itu timbul minat saya untuk menyertai badan beruniform pasukan negara serta menangkap haiwan liar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak ramai anggota wanita APM berminat melakukan tugas-tugas khas sepertinya terutamanya menangkap reptilia berbisa itu. – Bernama

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini