Rizab negara ‘sangat terjejas’ kerugian forex Bank Negara

0
15

Kerugian sekitar AS$10 bilion dalam perdagangan mata wang yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 1990-an memberi impak yang cukup besar terhadap rizab negara hari ini, dakwa bekas penolong gabenor bank pusat itu, Datuk Abdul Murad Khalid.

Menurutnya, wang AS$10 bilion itu, akan meningkat nilainya dalam tempoh 25 tahun kepada AS$26.66 bilion, atau lebih RM100 bilion, jika disimpan dalam tabungan kerajaan dengan kadar faedah sebanyak empat peratus setahun.

“Jumlah kerugian itu adalah AS$10 bilion, yang bersamaan dengan kira-kira RM40 bilion hari ini,” katanya dipetik oleh akhbar New Straits Times (NST) hari ini.

Justeru, katanya, kerugian besar dalam skandal itu a mesti disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) .

Abdul Murad berkata, penubuhan RCI tidak sepatutnya dilihat sebagai langkah politik kerana ia akan membantu mencari kebenaran dan membawa kepada penutupan skandal itu.

“RCI mesti menyiasat untuk melihat jika terdapat unsur jenayah dalam kerugian forex,” katanya.

Isu kontroversi tiga dekad lalu itu dibangkitkan semula tahun ini apabila penyokong BN membandingkan skandal 1MDB dengan skandal forex, yang berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri.

Mahathir, yang kini menerajui BERSATU, adalah pengkritik paling lantang 1MDB dan kerajaan dan sedang berusaha keras untuk menyatukan pembangkang dalam usaha menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir dalam temu bual bersama Channel News Asia minggu lalu berkata bahawa beliau tidak terlibat dalam skandal forex itu.

Untuk rekod, Abdul Murad pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan gagal mengisytiharkan harta bernilai lebih RM23 juta pada September 1999 ketika Mahathir menerajui negara.

Beliau kemudiannya didapati bersalah dan didenda RM500,000 atau penjara enam bulan. Abdul Murad membayar denda itu.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini