Ibu tunggal terharu terima sumbangan hampir RM20 ribu sempena Aidilfitri

0
67

Nilai – Seorang ibu tunggal tidak menyangka sama sekali, apabila kesempitan hidupnya mendapat perhatian pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sumbangan hampir RM 20,000.

Terdahulu Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Isham Jalil melalui catatan di Facebooknya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal tersebut.

“Di malam terakhir bulan Ramadan ini, berkesempatan singgah bersama-sama Sukarelawan Malaysia ke rumah satu keluarga ibu tunggal tiga beranak dengan anak kecil OKU yang tinggal di bandar.

“Terima kasih alumni Sekolah Alam Shah batch ’89-’93, mahasiswa USIM dan Sukarelawan Malaysia ke atas bantuan anda untuk keluarga ini dan kerana telah memperbaiki rumah, mengecat dinding, membaiki lantai dan atap rumah keluarga ini yang uzur dan banyak kerosakan serta bocor sebelum ini.

“Dengan ini mereka dapat lah tinggal dengan sedikit selesa dan kurang keresahan, tahniah Alumni Sekolah Alam Shah, mahasiswa USIM dan Sukarelawan Malaysia. Teruskan usaha bantu mereka yang memerlukan,” ujarnya Isham yang juga merupakan Presiden, Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia).

Timbalan Presiden Sukarelawan Malaysia, Mohammad Noorizzuddin Nooh ketika dihubungi MassaTV berkata pihaknya sangat terharu melihat ketabahan ibu tunggal itu meneruskan kehidupan seharian disamping menjaga anaknya yang kurang upaya.

“Kami menyedari kesempitan hidup wanita tersebut ketika Sukarelawan Malaysia menjalankan program Jejak Asnaf baru-baru ini, ketika kami sampai saya amat terkejut apabila melihat keadaan rumah beliau yang serba kedaifan.

“Rumah beliau kosong tanpa ada sebarang perabot dan peralatan elektrik ditambah dengan atap rumah yang bocor, tingkap pecah dan sebagainya.

“Namun apa yang membuatkan jiwa kami tersentuh apabila ibu tunggal itu begitu positif dengan keadaan hidupnya walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan disamping menjaga anaknya yang OKU,”katanya.

Menurut Noorizzuddin rentetan dari itu pihak Sukarelawan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kempen bagi membantu keluarga yang kurang bernasib baik itu.

“Alhamdulillah tidak lama selepas itu pelbagai pihak mula tampil untuk memberikan sumbangan antaranya perabot, peralatan dan kelengkapan rumah, pek makanan dan sebagainya.

“Malah ada yang memberikan wang untuk membaiki rumah, membetulkan atap yang bocor, mengecat pendek kata rumah yang dahulunya kosong itu mula bertukar wajah.

“Malah ibu tunggal tersebut berulang kali menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana tidak menyangka sama sekali lebaran yang disambut pada kali ini lebih ceria dan bermakna,” ujarnya pula. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini