Pemuda Umno Pahang edar 3 ribu pek berbuka puasa (Video)

0
30

Kuala Lumpur – Sebanyak 3,000 pek berbuka puasa diagihkan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang kepada anak perantau yang pulang ke negeri itu di Stesen Bas Pekeliling di sini, hari ini.

Program kali kedua anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Pahang yang dikenali sebagai ‘Moh Balik Raya 2.0’ ini turut menyediakan cabutan bertuah duit raya kepada penumpang.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah berkata, program yang sama dijalankan di Terminal Bas Bersepadu Selatan pada tahun lalu.

“Kami mendapat maklum bahawa bas ke Pahang di Stesen Bas Pekeliling lebih banyak dan ini adalah permintaan perantau anak Pahang sendiri untuk bersama kami pada tahun ini.

“Program ini adalah salah satu inisiatif Pemuda UMNO mendekati dan bermesra dengan anak perantau yang belajar mahupun bekerja di luar Pahang,” katanya.

Menurut Mohd Shahar lagi tradisi pulang menyambut hari raya bersama keluarga di kampung ini wajar diteruskan kerana ia akan mengeratkan lagi silaturahim bersama keluarga

Sementara itu Pengerusi Yayasan Perdana Ummah, Datuk Rizal Mansor yang turut hadir untuk mengagihkan sumbangan menyifatkan program tersebut sebagai kreatif dalam usaha untuk mendekati masyarakat.

“Inilah salah satu cara untuk pemimpin muda mendekatkan diri dengan masyarakat, kerana kalau nak kumpulkan mereka semua dalam satu majlis yang lain mungkin cukup susah.

“Disebabkan hari ini semua nak balik kampung, maka dengan mengadakan program seperti in mereka dapat berjumpa dengan semua anak-anak Pahang.

“Sebab itu bila penganjur ajak untuk turut serta saya tidak akan tolak dan akan cuba mengahdirkan diri kerana kerana Pemuda Pahang ini cukup aktif dan kreatif membuat program kebajikan untuk mendekatai rakyat,” katanya pula.

Seramai 100 orang ahli jawatankuasa termasuk 14 Ketua Pemuda UMNO Bahagian hadir mengagihkan sumbangan itu kepada penumpang bas yang pulang ke pelbagai destinasi di Pahang.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti terkenal antaranya Chacha Maembong, Nabila Razali dan Mat Over. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini