IS Indonesia mahu bunuh DCP Ayob Khan

0
2312

Militan Negara Islam (IS) Indonesia mengeluarkan ancaman baru terhadap Malaysia dan pasukan keselamatannya.

Sasaran utama mereka ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin.

Akhbar The Star melaporkan militan IS mula menghubungi rakan-rakan mereka di negara ini untuk membunuh DCP Ayob, yang dilihat sebagai ancaman utama terhadap kumpulan pengganas di rantau ini.

Mesej yang tersebar di media sosial berbunyi, “Di Malaysia negara yang udah dibawah Khilafah ada satu nama polis AYOB KHAN … dia kerja dengan pemerintah thogut … dia juga orang yang tangkap askar khilafah di Malaysia … semua ikhwan khilafah yang ada di Malaysia bangun sekarang dan habiskan AYOB KHAN orang yang mau lawan dengan KHALIFAH ABU BAKAR AL BAGHDADI”.

Akhbar itu melaporkan sumber perisikan mendedahkan bahawa ancaman langsung oleh militan Indonesia berkenan sebagai sangat berbahaya.

“Sudah tentu ini sangat serius kerana militan IS Indonesia sangat komited dan mempunyai rangkaian yang luas di rantau ini dan juga di peringkat global.

“Hubungan mereka dengan militan di Malaysia juga agak rapat dan militan Indonesia mempunyai kepakaran membuat bom dan peranti elektronik,” kata akhbar itu yang memetik sumber.

Apabila dihubungi, DCP Ayob mengakui beliau menyedari ancaman oleh militan Indonesia itu.

“Siasatan awal menunjukkan ancaman itu diedarkan di media sosial sejak minggu lalu.

“Saya banyak menerima banyak ugutan bunuh sejak bertahun-tahun tetapi ini kali pertama anggota militan Indonesia mengeluarkan seruan lantang kepada rakan-rakan mereka di Indonesia, Malaysia dan negara-negara lain untuk membunuh saya,” katanya.

Katanya, ancaman dikeluarkan pada bulan Ramadan kerana kumpulan militan itu percaya adalah lebih berkat jika mereka menyerangnya pada bulan suci.

“Itu kepercayaan karut mereka. Kemungkinan kerjasama antara militan Malaysia dan Indonesia untuk membunuh saya adalah tinggi memandangkan hubungan rapat mereka.

“Di Syria, militan Malaysia dan Indonesia membentuk skuad yang dinamakan Khatibah Nusantara yang beroperasi di Raqqa.

“Tambahan, ramai militan di Syria yang kembali semula ke Asia Tenggara memandangkan serangan bertubi-tubi ke atas kubu IS di Mosul, Iraq dan Raqqa, Syria,” katanya.

DCP Ayob berkata ancaman daripada militan Indonesia lebih serius memandangkan beberapa daripada mereka ditahan di Slim River dan Sandakan baru-baru ini.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini