‘Fatwa Segera’ Dalam Masyarakat Islam

0
24

Oleh: Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim

DI dalam dunia Islam, terdapat persaingan antara ulama untuk mengeluarkan fatwa masing-masing dalam isu-isu fikah lama dan baharu.

Sungguh pun tidak berlaku di Malaysia, namun dalam persaingan ini, tiba-tiba fatwa yang dikeluarkan oleh golongan radikal yang paling banyak mendapat sambutan iaitu fatwa yang berbentuk agak keras seperti mengharuskan tindakan membunuh orang bukan Islam atas nama jihad termasuklah tindakan pengebom bunuh diri yang meletupkan dirinya untuk membunuh orang lain yang dikategorikan sebagai musuh Islam.

Konflik dan kegawatan ma­syarakat Islam ini juga akhir­nya membawa kepada satu pertikaian baharu tentang siapakah sebenarnya pihak yang berkuasa untuk mengeluarkan fatwa, iaitu akibat daripada terbitnya satu fatwa yang mengharuskan muzik oleh Imam Masjid Al-Haram, Sheikh Adel al-Kalbani pada tahun 2010.

Fatwa ini menimbulkan kegelisahan dan penentangan dari banyak pihak yang selama ini menghukum bahawa muzik itu adalah haram. Namun begitu Sheikh al-Kalbani berkeras dengan fatwanya mengharuskan muzik tertentu.

Perbalahan begini memanglah tidak dapat dielakkan di dalam negara yang sedang cuba untuk melepaskan dirinya daripada tradisi dan budaya turun temurun yang masih berpegang kepada pandangan dan fatwa lama yang dianggap sebagai teras ajaran agama yang tidak dapat diubah sama sekali. Golongan ini tetap dengan pendiriannya yang tegas dan tidak dapat menerima bahawa fikah Islam adalah sesuatu yang boleh berubah mengikut perkembangan manusia dan zaman, sekiranya tidak bercanggah dengan dasar asas bagi ajaran Islam dan tidak melanggar nas yang sahih.

Penulis beranggapan bahawa sekiranya fatwa dibiarkan bebas lepas mengikut pandangan individu ulama tertentu, maka kekecohan begini akan berlaku kerana individu mempunyai pandangan tertentu mengikut interpreta­sinya secara peribadi, berdasarkan dalil yang sah pada tanggapannya, maka akan keluarlah fatwa yang bercanggah di antara satu dengan lain dan hal ini tentulah akan mengelirukan umat Islam sendiri.

Oleh itu, penulis berpendapat fatwa haruslah dikeluarkan oleh badan khusus yang mewakili kerajaan semasa, dan setiap individu yang mempunyai pandangan berlainan haruslah diajak berdialog dan berbincang oleh badan fatwa seperti Majlis Fatwa Kebangsaan di negara ini.

Satu kegemparan lain yang berlaku dalam kalangan ulama Asia Barat beberapa tahun dulu adalah ulama yang mengejar po­pulariti di televisyen di dunia Arab yang mempunyai banyak stesen televisyen satelitnya.

Hal ini mempunyai hubungan juga dengan isu fatwa ketika terdapat ramai ulama yang mencari publisiti dengan mengeluarkan fatwa segera di TV iaitu melalui panggilan telefon dan penggunaan teknologi maklumat baharu seperti internet, e-mail dan Facebook, malah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Seorang pengkritik media dunia Arab dan penulis serta tokoh agama, Abdullah Manna berkata bahawa program soal jawab agama di stesen TV satelit telah tergelincir daripada matlamat penyebaran Islam untuk mendidik umatnya. Ini kerana ulama tersebut tidak dapat bersemuka de­ngan orang yang bertanya, bersoal jawab dengan lebih terperinci, masanya terhad, analisis hukum yang tidak mendalam dan jawapan yang tergesa-gesa tentang persoalan tertentu.

Ulama begini hanya bermotifkan publisiti dan keuntungan semata-mata dan pentasnya juga adalah untuk bersaing sesama ulama bagi menonjolkan kejaguhan masing-masing, agar publisitinya bertambah hebat dan namanya semakin popular, maka orang awam akan sentiasa mencarinya dan bererti membuka pintu rezekinya lebih banyak lagi atas nama dakwah dan agama serta atas nama tokoh agama TV.

Isu yang sering menerima kritikan dan kecaman adalah kerana hal ini seolah-olah telah menimbulkan satu aliran yang tidak sihat dalam bidang kepenggunaan ­seperti yang diamalkan dalam kalangan peniaga yang melanda masuk ke dalam segelintir golo­ngan ulama yang telah menggunakan pengetahuan aga­manya untuk tujuan perdaga­ngan kerana kepentingan material.

Pada masa ini pun kita dapat melihat hal ini sedang berlaku dan mungkin terdapat juga bentuk ini secara tidak langsungnya sedang berlaku di tanah air kita sendiri iaitu bagaimana syarikat perniagaan menggunakan media tradisional dan baharu, yang membawa ulama dan ahli-ahli agama dalam iklan-iklan untuk melariskan produk dan hasil atau perkhidmatan mereka, yang seolah-olah menggunakan agama sebagai pelaris kepada barang-barang keluaran mereka.

Dalam persaingan melariskan produk perubatan umpamanya, etika kefarmasian seringkali tidak dihormati lagi iaitu apabila dipergunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang umum untuk difokuskan kepada produk ter­tentu dan ketika ustaz atau ulama akan mengeluarkan teori-teori perubatan seperti seorang pakar perubatan tulen berasaskan kepada pengertian umum nas, yang sebenarnya tidak mempunyai sebarang hubungan secara langsung dengan produk perubatan ­dipromosikan itu.

Hal ini sebenarnya boleh mencemarkan nama baik agama dan ajarannya dan ­meremehkan nilai-nilai peradaban, etika ma­lah akhlak umat Islam sendiri ia­itu ketika pengaruh kebendaan dan glamor yang wujud di dalam masyarakat Islam nampaknya telah menjadi sebagai satu pendekatan untuk mencari pasaran dan mengaut keuntungan, terutamanya dalam kalangan mereka yang bergelar selebriti sebagai produk dari program TV komersial dan media elektronik lainnya.

Galakan untuk berdakwah me­lalui media sememangnya adalah agenda umat Islam kini yang seharusnya digalakkan kerana ke­sannya amat baik, terutamanya jika dilakukan di dalam media yang dikenali sebagai media agama atau media Islam tetapi galakan itu tidaklah seharusnya sehingga mengorbankan pula prinsip-prinsip moral dan ajaran Islam sendiri yang penuh dengan nilai-nilai murni kesopanan, amanah, etika dan peradaban tinggi.

Oleh itu, penulis ingin mencadangkan agar pihak berkuasa agama, seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan institusi mufti ne­geri-negeri dapat meneliti aktiviti yang berbentuk fatwa ini dan memberikan pencerahan jelas mengenainya kepada orang awam, malah jika perlu memberikan pandangan balas tentang hukumnya dari sudut pandangan syariah Islam.

 

Nota: Penulis adalah merupakan penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan artikel adalah pendapat peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pandangan MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini